Monday, August 25, 2014

‘Bersedialah PKBM’


Kuala Lumpur: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi menasihatkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar memahami secara terperinci pertuduhan yang dikemukakan kepada mereka termasuk mendapatkan khidmat peguam sekiranya perlu.

PKBM kini berdepan penggantungan pendaftaran andai gagal memberikan alasan kukuh terhadap surat tunjuk sebab dikeluarkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) beberapa hari lalu susulan isu peruntukan kewangan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari 2011 hingga tahun lalu.

PKBM sebelum ini pernah dipanggil pihak audit dalaman KBS dan seterusnya Panel Penasihat Sukan bagi memberi penjelasan namun ia jelas mencukupi kerana keputusan tidak memihak mereka apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Khamis lalu mengarahkan proses ke arah penggantungan.

Khairy selepas mesyuarat bersama Panel Penasihat Sukan menjelaskan banyak pelanggaran terhadap perlembagaan yang berlaku, salah urus kewangan, konflik kepentingan dan kekurangan tanggungjawab yang serius berlaku untuk tempoh yang lama.

“Mereka (PKBM) perlu memahami surat tunjuk sebab berkenaan dengan baik kerana apa yang saya dengar daripada satu pihak, terdapat perkara yang tidak jelas, lebih baik dapatkan khidmat peguam untuk menyemaknya. “Sekiranya terdapat tuduhan yang tidak difahami, mereka perlu mendapatkan penjelasan dan menjawabnya dengan teliti.

“Setiap keterangan perlu disertakan dengan bukti yang lebih banyak dan jelas,” kata Kok Chi mengulas isu yang dialami PKBM ketika ini.
PKBM mempunyai tempoh 14 hari, hingga 4 September untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan, namun badan berkenaan dilaporkan akan terlebih dulu mengadakan mesyuarat exco bagi membincangkannya.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab menyifatkan insiden itu dugaan paling hebat perlu ditempuhi kepimpinannya namun berjanji akan membalas surat tunjuk sebab berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Saya harap mereka melihat ini secara serius kerana ia memberi impak yang sangat besar. Penggantungan ini tidak membabitkan individu, namun persatuan termasuk hubungan dengan badan induk antarabangsa,” katanya.

Isu PKBM bermula susulan kegagalan pelumba lebuh raya di Sukan SEA 2013 meraih emas walaupun peruntukan setiap tahun disalurkan KBS menerusi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).

Kali terakhir pelumba negara meraih emas di temasya Sukan SEA Filipina pada 2005.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment