Tuesday, August 19, 2014

Azlan masih berbisa

Kuala Lumpur: Mohd Azlan Iskandar membuktikan dirinya masih berbisa apabila kembali beraksi selepas bersara dengan memenangi pusingan kelayakan pertama Terbuka Malaysia 2014 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pemain Kuwait, Ammar Altamimi menjadi mangsa Azlan yang mencatat kemenangan straight set, 11-4, 11-6, 11-1 seterusnya menempah slot ke pusingan kelayakan kedua hari ini.
Menanti Azlan di pusingan kedua kelayakan hari ini pemain Afrika Selatan, Shaun Le Roux yang mendapat bye.

“Memang saya rasa sukar untuk memenangi setiap perlawanan minggu ini, sebenarnya ini persiapan untuk saya membantu Malaysia meraih pingat di Sukan Asia Incheon,” katanya.

Azlan yang kembali daripada persaraan semata-mata untuk beraksi di Sukan Asia sebelum menggantung raket semula, mengakui gembira dengan prestasinya semalam selepas dua bulan melakukan persiapan.

“Sudah lama saya tidak beraksi, kita tengok esok (hari ini) bagaimana pula persembahan saya, tetapi hari ini (semalam) semuanya berlangsung baik kerana saya banyak bergerak seperti usia 28 tahun,” katanya.

Turut mara ke pusingan kelayakan kedua, Adden Idrakie yang mengalahkan rakan senegara, Elvinn Keo 11-8, 11-9, 12-14, 8-11, 11-6, manakala Valentino Bong menyingkirkan Matthew Karwalski dari Australia 11-6, 11-7, 8-11, 6-11, 11-7.

Hasrat untuk melihat pemain negara menguasai pusingan kelayakan kedua tidak kesampaian apabila Sanjay Singh, Mohd Amir Farhan Ampandi dan Gurshan Singh kalah kepada lawan masing-masing.

Sanjay kalah 8-11, 4-11, 11-18, 5-11 kepada Lucas Serme (Perancis). Amir pula ditewaskan pemain Australia, Rex Hendrik 11-1, 11-1, 11-1 dan Gurshan dikalahkan Mahesh Mangaonkar (India) 3-11, 11-9, 6-11, 4-11.

Sementara itu, ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David akan turun beraksi hari ini di pusingan pertama menentang Liu Tsz-Ling dari Hong Kong.

Pemain lain yang akan memulakan aksi ialah Low Wee Wern bertemu Heba Al Torky (Mesir), manakala Delia Arnold menentang Alison Waters dari England.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment