Wednesday, August 13, 2014

Audit keberkesanan program MSN

Kuala Lumpur: Satu panel bebas akan ditubuhkan untuk menjalankan audit prestasi terhadap program elit Majlis Sukan Negara (MSN) 2011-2014.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, selepas membuat post-mortem prestasi kontinjen negara pada Sukan Komanwel di Glasgow, beliau mendapati beberapa perkara perlu dikaji semula termasuk program persiapan atlet sepanjang empat tahun itu.

“Untuk kita memahami lebih mendalam masalah persatuan dan program kita perlu buat audit prestasi.

“Audit ini akan dilakukan serentak selepas temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post-mortem Sukan Komanwel 2014 dan persiapan Sukan Asia di MSN di sini hari ini.

Menurut beliau panel bebas itu akan dianggotai badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan dalam persatuan sukan tempatan.

Kontinjen Sukan Komanwel negara gagal mencapai sasaran tujuh pingat emas apabila hanya sekadar mencatat enam pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa di Glasgow.

Kegagalan itu sekali gus menimbulkan kegelisahan terhadap kemampuan persatuan sukan tempatan dalam menyenaraikan atlet ke Sukan Asia di Incheon pada September ini.



– BERNAMA

No comments:

Post a Comment