Friday, August 15, 2014

Atlet Tidak Abai Pelajaran Walaupun Galas Cabaran Negara Di Nanjing



NANJING (China), 14 Ogos (Bernama) -- Atlet pelapis negara yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini tidak mengabaikan pelajaran masing-masing walaupun sibuk melakukan pesiapan akhir bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2014 di sini.

Buku dan pelajar tidak dapat dipisahkan, di mana sahaja berada buku tetap menjadi teman setia bagi atlet lompat tinggi Norshafiee Mohd Shah.

Pelajar tingkatan lima dari Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata beliau tidak pernah ponteng untuk mengulang kaji pelajaran walaupun sibuk kerana baginya pelajaran dan tanggungjawab sebagai atlet adalah sama penting.

"Kalau ada kejohanan luar saya dan rakan-rakan akan tetap mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan sama ada sebelum atau selepas latihan...apa yang penting adalah pengurusan masa agar pelajaran dan sukan dapat bergerak seiringan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut sama meluahkan masa bagi mengulang kaji pelajaran bersama atlet lain di perkampungan atlet YOG 2014 ialah atlet olahraga Mohd Rizzua Haizad yang tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

Pelajar tingkatan lima dari Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata adalah agak sukar pada awal untuk membahagikan masa antara belajar dan bersukan namun setelah lama bergelar atlet pelapis negara beliau mampu membahagi masa.

Sementara itu, gimnas pelapis negara, Olivia Tai Qing Tong berkata temasya YOG 2014 adalah satu cabaran bagi dirinya untuk menghadapi Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang tinggal hanya beberapa bulan lagi.

Pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas itu berkata beliau tetap membawa buku bersamanya ketika menjalani latihan persiapan YOG 2014.

"Apabila ada masa terluang saya akan guna masa tersebut untuk mengulang kaji pelajaran dan ianya bukan sesuatu yang membebankan diri saya kerana sudah biasa dengan keadaan ini," katanya.

Olivia berkata beliau akan kembali memberi tumpuan kepada pelajaran setelah tamat kejohanan nanti dan akan cuba mengejar mata pelajaran yang tertinggal.

Beliau berkata YOG 2014 membakar semangatnya untuk berjaya dalam peperiksaan PT3 nanti.

Kontinjen negara yang dibarisi oleh 41 atlet dan pegawai akan menyertai 10 daripada 28 jenis acara sukan yang dipertandingkan iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistikdan gimrama), golf, memamah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo, dan juga ekuestrian.

Temasya YOG 2014 akan bermula Isnin ini.

Pada edisi pertama di Singapura pada 2010, Malaysia berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment