Wednesday, August 13, 2014

Atlet Perlu Capai Sasaran Terbaik Peribadi - Khairy Jamaluddin


KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Meskipun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada kontinjen Sukan Olimpik Remaja 2014 namun atlet diharap sekurang-kurangnya melakukan catatan terbaik peribadi pada kejohanan itu.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata kejohanan yang akan berlangsung di Nanjing, China itu merupakan platform dan pendedahan kepada atlet pelapis kebangsaan.

"Tiada sebarang sasaran ditetapkan untuk kontinjen negara kali ini kerana tahap pertandingan adalah tinggi...bagaimanapun, saya lihat dan percaya ada beberapa atlet yang mempunyai potensi untuk menaiki podium merangkul pingat kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Institut Sukan Negara (ISN), di sini Selasa.

Perenang pelapis kebangsaan Lim Ching Hwang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada kejohanan yang dijadualkan dari 16 hingga 28 Ogos ini.

Malaysia akan menyertai 10 daripada 28 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo dan ekuestrian.

"Seramai 20 atlet pelapis terpilih bagi wakili negara ke kejohanan tersebut dan mereka dipilih berdasarkan pencapaian pada kejohanan kelayakan yang disertai mereka sebelum ini.

"Mereka merupakan antara atlet yang mempunyai harapan mempamerkan prestasi cemerlang untuk kontinjen negara. Saya harap mereka tunjuk kekuatan sebenar mereka," kata Khairy.

Beliau percaya atlet pelapis perlu diberikan pendedahan daripada usia muda selaras dalam melahirkan jaguh sukan negara di masa akan datang.

Khairy dalam masa sama, menasihatkan para atlet supaya tidak gentar dan merasai diri tidak setanding dari segi pencapaian dan prestasi dengan atlet dari negara lain ketika berada di lapangan kejohanan.

Katanya, para atlet harus sentiasa berasa yakin dan percaya bahawa mereka adalah lebih baik daripada atlet lain bagi memastikan mereka mampu melakukan yang terbaik.

Daripada jumlah 20 atlet terpilih, seramai 17 atlet melayakkan diri ke kejohanan remaja tersebut melalui kejohanan kelayakan peringkat dunia dan benua manakala tiga lagi atlet layak bertanding atas tiket wildcard.

Untuk rekod, Malaysia telah menghantar seramai 13 atlet mewakili enam jenis sukan pada edisi pertama kejohanan tersebut di Singapura, empat tahun lepas dan berjaya meraih dua pingat perak menerusi ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment