Friday, July 04, 2014

Malaysia Tidak Mahu Lagi Jadi Pasukan Belasahan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pasukan ragbi negara berazam untuk tidak lagi menjadi pasukan belasahan di Sukan Komanwel Glasgow, Scotland yang bermula dari 24 Julai hingga 3 Ogos ini.

Ketua jurulatih Yusli Ramli berkata berdasarkan prestasi semasa anak buahnya, beliau meletakkan sasaran pasukan untuk menduduki tempat ke-12 pasukan pada kali ini, memperbaiki kedudukan sebelum ini di tempat ke-16 pada temasya lepas.

Mengakui laluan sukar pasukan kebangsaan yang diundi dalam kumpulan C bersama tiga lagi pasukan terbaik dunia iaitu Samoa, Wales dan Papua New Guinea, Yusli berkata apa yang diharapkan agar pasukan negara dapat mengurangkan jurang skor dalam setiap perlawanan.

"Saya harap mereka akan mengaplikasikan segala latihan yang dijalankan serta apa yang dipelajari melalui beberapa perlawanan ujian dan latihan yang diadakan di Australia dan Afrika Selatan sebelum ini.

Kalau dilihat kepada pasukan dalam kumpulan C, kita pun boleh ukur kedudukan pasukan di mana cuma apa yang kita harap dapat mengurangkan jurang skor," katanya ketika ditemui selepas pengumuman senarai pemain pasukan ragbi ke Sukan Komanwel di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Khamis.

Dalam Sukan Komanwel 2010, pasukan ragbi Samoa membelasah Malaysia 60-0.

Pada temasya kali ini, 12 atlet disenaraikan terdiri daripada tiga atlet berpengalaman iaitu Mohd Syahir Asraf Rosli selaku kapten, Mohamad Amin Jamaluddin dan Anwarul Hafiz Ahmad manakala sembilan lagi adalah atlet baru termasuk Marc Le, pemain yang pernah menyertai pasukan kelab Jepun Ricoh Black Rams.

Yusli berkata sebagai persiapan terakhir menjelang temasya Sukan Komanwel, pasukan negara akan menyertai Kejohanan Domestik 7 di Singapura dan turut mendapat jemputan perlawanan persahabatan dari pasukan Kenya dan Cook Island setiba di Glasgow nanti.

Dalam pada itu, Yusli berkata walaupun menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan, latihan skuad ragbi negara tetap dijalankan.

"Kita menjalani latihan di padang satu jam setiap petang dan menjalani dua sesi dalam gimnasium iaitu pada hari Selasa dan Khamis selepas waktu berbuka puasa," katanya.

Ketua pasukan ragbi negara Mohd Syahir Asraf ketika ditemui berkata meskipun majoriti anggota pasukannya pemain baru tetapi mereka menunjukkan kesungguhan dan prestasi memberangsangkan sepanjang latihan dan perlawanan ujian.

"Kalau kita lihat undian kumpulan, memang kita jauh di belakang. Tapi apa yang boleh disasarkan adalah agar kita dapat kurangkan jurang skor dan perbaiki kedudukan di tangga ke-12 kali ini," katanya.

Malaysia layak secara automatik ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan selepas muncul enam pasukan terbaik pada kejohanan Siri Asia Tujuh Sebelah 2013 yang berlangsung sejak Jun hingga November.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment