Thursday, July 03, 2014

Kriket Intai Tiket Separuh Akhir Pada Sukan Asia 2014

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Persatuan Kriket Malaysia (MCA) optimis dengan kemampuan skuad lelaki negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bermula 19 Sept ini.

Setiausaha Eksekutifnya, V. Clarence Selvam berkata, keyakinan itu adalah bersandarkan persembahan cemerlang pasukan itu yang muncul juara Divisyen Empat dalam Liga Dunia ICC dengan mengalahkan tuan rumah, Singapura, baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sasaran suku akhir kepada skuad tersebut, namun beliau yakin mereka mampu melakar kejutan dan mara sehingga ke peringkat separuh akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian suku akhir yang dicatat pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

"Penganjur Sukan Asia 2014 dijangka mengeluarkan senarai akhir negara yang bertanding pada 21 Ogos ini dan dari situ kita dapat melihat negara mana yang bakal memberikan cabaran sengit kepada pasukan kita," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Selvam berkata bagaimanapun mereka hanya meletakkan sasaran suku akhir kepada skuad wanita negara yang dijangka menerima tentangan sengit daripada beberapa negara lain seperti Bangladesh dan Pakistan.

Beliau berkata pihak persatuan telah mengenal pasti senarai awal 35 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

"Saya difahamkan, MOM memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada kita untuk memberikan senarai akhir ke Sukan Asia...Setakat ini, kita sudah mengenal pasti senarai 35 pemain sebelum dipendekkan kepada 15 pemain sahaja," kata Selvam.

Untuk rekod, skuad lelaki dan wanita negara negara masing-masing sekadar mara ke peringkat suku akhir menerusi penyertaan sulung pada edisi 2010.

Dalam pada itu, Selvam berharap skuad lelaki negara dapat mempamerkan persembahan cemerlang pada Divisyen Tiga Liga Dunia ICC yang bermula 26 Okt ini, dan turut melibatkan lima negara lain -- Nepal, Amerika Syarikat, Bermuda, Singapura dan Uganda selaku tuan rumah.

Skuad itu perlu sekurang-kurangnya mara ke Divisyen Satu bagi mencerahkan peluang mereka beraksi pada Kejohanan Piala Dunia ICC 2019.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment