Tuesday, July 01, 2014

Eddy Harap Tuah Senjata Baharu Di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Atlet menembak kebangsaan Eddy Chew mengharap tuah senjata baharu untuk membuat kejutan pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata beliau tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi buat pertama kali pada temasya sukan berprestij itu dalam dua acara iaitu 50m free pistol dan 10m air pistol.

Katanya beliau akan menggunakan pistol baharu yang diubahsuai mengikut kesesuaian berbanding sebelum ini iaitu mengubah cengkaman pada pistol itu mengikut kesesuaian dan keselesaan tangan.

"Proses yang mengambil masa 12 jam itu itu memang rumit tetapi senjata itu lebih selesa digunakan sekarang," katanya kepada Bernama.

Eddy merupakan pemenang pingat emas acara 50m free pistol individu lelaki dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA Myanmar tahun lepas.

Sebagai persiapan akhir ke Sukan Komanwel, skuad menembak negara akan menyertai Siri Kejohanan Piala Dunia ISSF selama 10 hari bermula esok di China.

Untuk rekod, skuad menembak Malaysia meraih dua pingat emas menerusi gandingan Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim dalam acara 10m air pistol berpasukan wanita dan Bibiana Ng bagi acara 10m air pistol individu wanita pada temasya empat tahun lepas di New Delhi, India.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment