Friday, June 27, 2014

‘Wira Malaysia’ diperkenal


Kuala Lumpur; Pakaian rasmi atlet kebangsaan kini diberi wajah baharu dan dikenali Wira Malaysia atau Malaysian Heroes.

Corak baharu ini yang kelihatan segar, menarik dan melambangkan sifat agresif, dicipta pereka fesyen tempatan, Melinda Looi adalah bagi menggantikan pakaian rasmi lama yang digunakan sejak hampir 10 tahun lalu.

Ia bakal digunakan buat pertama kali pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow Scotland pada 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Berucap melancarkannya di Bukit Jalil di sini, semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kit pakaian dengan corak baharu itu membawa satu kelainan kepada kontinjen negara seiring dengan nama Harimau Malaya.

“Sejak awal tahun ini, saya memulakan inisiatif dan akhirnya mendapat khidmat bantuan daripada pereka fesyen terkemuka, Melinda Looi. Ia menepati kehendak dan misi saya mengenai corak untuk pakaian rasmi pasukan kebangsaan.

“Kita sudah ada identiti dan saya suka reka bentuk yang ada tapi dia sudah digunakan 10 tahun. Jadi kita perlu ada identiti baharu. Sudah tiba masanya untuk kita meniup nafas segar kepada atlet negara,” katanya.

Sempena majlis itu, turut diadakan perjanjian persefahaman antara Sunrise & Co (Pte) Ltd, pemilik jenama Yonex dan MSN sebagai tanda jenama syarikat berkenaan akan menjadi pengeluar rasmi pakaian untuk atlet dan pegawai kebangsaan bagi temasya antarabangsa hingga tahun 2020.



Berita Harian

No comments:

Post a Comment