Tuesday, June 24, 2014

‘Tunggu Sabtu’


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka mempunyai nama baru untuk jawatan ketua jurulatih kebangsaan sebelum membuat keputusan akhir pada Mesyuarat Exco FAM, Sabtu ini.

Tanpa mahu mendedahkan nama calon itu, beliau hanya menyatakan FAM sudah mempunyai senarai akhir untuk diberikan tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

“Exco FAM akan bermesyuarat pada 28 Jun ini dan antara yang akan dibincangkan pelantikan jurulatih baru skuad kebangsaan. Kami sudah mempunyai senarai akhir calon jurulatih yang akan dibawa pada mesyuarat itu, mungkin keputusan untuk melantik jurulatih baru akan dicapai pada mesyuarat itu,” kata Hamidin kepada Arena Metro semalam.

FAM kini terdesak untuk mengumumkan jurulatih baru sepenuh masa memandangkan skuad kebangsaan hanya mempunyai kira-kira empat bulan untuk membuat persiapan menjelang kejohanan Piala AFF pada November ini yang bakal dianjurkan secara bersama Singapura dan Vietnam.

FotoKIM Swee (kanan) pengendali sementara Harimau Malaya.

Buat masa ini, tugas mengendalikan Harimau Malaya dipikul Datuk Ong Kim Swee namun beliau dalam masa sama turut membimbing Harimau Muda A serta skuad bawah 23 bagi Sukan Asia di Incheon, September ini.

Sebelum ini FAM menyatakan sudah mengadakan perbincangan dengan tiga jurulatih asing iaitu bekas jurulatih kebangsaan Mozambique kelahiran Jerman Gert Engels, bekas jurulatih skuad remaja Sepanyol Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih Iraq dari Jerman Wolfgang Sidka.

Ini berikutan usaha mereka untuk memancing bekas pengendali skuad Piala Dunia Jepun kelahiran Perancis Philippe Troussier tidak kesampaian apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata putus awal tahun ini.

Namun dua jurulatih tempatan Kim Swee dan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh masih berada dalam senarai dan sesetengah bekas pemain kebangsaan dan pemerhati bola sepak berasa, jurulatih tempatan lebih layak berbanding calon luar yang dimiliki FAM.

Namun seperti pernah dilaporkan sebelum ini, delegasi FAM diketuai Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Brazil sempena Kongres AFC dan FIFA, baru-baru ini juga memasang hajat memantau perkembangan jurulatih Piala Dunia.


Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment