Monday, June 30, 2014

Tiada lagi slot automatik

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kali pertama mempengerusikan mesyuarat exco FAM selepas dilantik sebagai Presiden badan induk bola sepak negara itu bergambar bersama exco jawatankuasa di Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


PETALING JAYA - Tiada lagi dua slot automatik buat pasukan Malaysia pada saingan Piala AFC 2015 apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan format baru yang akan diperkenalkan mulai musim hadapan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah, AFC telah menetapkan syarat bahawa JDT selaku juara Liga Super akan beraksi di playoff Liga Juara-Juara AFC, sementara juara Piala FA, Pahang bakal bermain di playoff Piala AFC.

Ujarnya, jika JDT berjaya melepasi saingan playoff Liga Juara-Juara untuk bersaing di peringkat kumpulan, maka slot automatik akan diberikan kepada Pahang dalam kejohanan Piala AFC, namun sekiranya JDT tewas, Pahang perlu menghadapi perlawanan playoff bagi merebut tempat dalam saingan kumpulan Piala AFC.

"Berdasarkan kedudukan ranking Malaysia yang kini berada di tempat ke-22, kami bersetuju meletakkan JDT selaku juara Liga Super beraksi di playoff Liga Juara-Juara, dan segala permohonan telah dihantar kepada AFC.

"Namun, terdapat sedikit perubahan syarat pada kali ini kerana tiada slot automatik diberikan kepada dua wakil kita pada musim 2015 iaitu JDT, dan Pahang kerana masing-masing perlu melalui aksi playoff.

"Jika JDT yang akan bermain di playoff Liga Juara-Juara menang, maka Pahang tidak perlu melalui aksi playoff Piala AFC, dan secara automatik, mereka akan terus berada di peringkat kumpulan.

"Andai kata sebaliknya berlaku iaitu JDT tewas pada aksi playoff Liga Juara-Juara, JDT masih boleh bersaing di peringkat kumpulan Piala AFC, manakala Pahang perlu melalui aksi playoff jika mahu bermain di Piala AFC, " katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datu Sudarsono Osman dilantik sebagai pengurus Harimau Malaya yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang tewas pada pemilihan kongres ke-50 FAM, 25 Mei lalu.

Sudarsono yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak akan dibantu oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang diberikan peranan sebagai Penolong Pengurus skuad kebangsaan.

Selain itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Rozabil Abdul Rahman diberikan kepercayaan menjadi pengurus Harimau Muda B, manakala Datuk Othman Aziz, bertindak selaku pengurus Harimau Muda C.

Bagi pembentukan jawatankuasa dalam FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah terus diberikan kepercayaan memegang Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) bagi tempoh empat tahun lagi, dengan Datuk S. Sivasundram bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.

Afandi yang mengumumkan nama pengerusi setiap jawatankuasa berkata, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan mengetuai tiga jawatankuasa iaitu darurat, kewangan, dan pengurusan pasukan kebangsaan.

No comments:

Post a Comment