Thursday, June 05, 2014

SUKMA Ke-17 Ditutup Penuh Berwarna-Warni


KANGAR, 4 Jun (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 yang berlangsung sejak 24 Mei lepas ditutup secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Syed Putra, di sini Rabu malam.

Majlis gilang-gemilang itu juga disaksikan kira-kira 20,000 penonton yang datang dari seluruh pelusuk negeri Perlis dan negeri-negeri berhampiran yang membanjiri stadium berkenaan sejak pukul 4 petang walaupun acara berlangsung dalam keadaan hujan.

Temasya sukan dua tahun sekali ini yang bermula pada 1986, disertai lebih 5,000 pegawai dan atlet seluruh negara termasuk Brunei selaku kontinjen jemputan.

Majlis penutup didahului dengan gimik kemunculan maskot temasya kali ini 'Singa Utara' dengan persembahan multimedia sebelum perarakan masuk semua kontinjen yang bertanding.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan anugerah Piala Perdana Menteri kepada pasukan Wilayah Persekutuan yang muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa.

Sementara itu atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet angkat berat Majlis Sukan Negeri Sarawak, Jenilie Empera masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati SUKMA ke-17.

Sejurus selepas itu diikuti upacara menurunkan bendera dan memadamkan obor kejohanan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kemudian menyerahkan bendera kejohanan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong selaku tuan rumah SUKMA ke-18.

Ia disusuli dengan persembahan lagu tema SUKMA Perlis, 'Satu harapan Satu Impian' dengan iringan tarian oleh seramai 200 penari gabungan sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Kemunculan artis terkenal tanah air, Amy Search ketika persembahan penutup SUKMA Perlis dengan mendendangkan lagu popularnya antaranya 'Isabella' sambil diiringi 500 artis Euphoria yang memegang lampu LED dari laluan bawah pentas ke podium di tengah padang memeriahkan lagi upacara tersebut.

Pada kemuncak majlis penutup edisi ke-17 SUKMA, penonton terpukau dengan percikan bunga api yang mewarnai angkasa sekitar stadium berkenaan.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment