Wednesday, June 04, 2014

Sukma Hanya Ditawarkan Kepada Negeri Yang Mampu Anjur Mengikut Bajet - Khairy


KANGAR, 3 Jun (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan hanya ditawarkan kepada negeri-negeri yang boleh menganjurkan sukan itu mengikut bajet yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kos penganjuran Sukma pada masa akan datang mungkin dapat dikurangkan berikutan setiap negeri sudah mempunyai kemudahan sukan dan tidak ada sebab untuk mereka membina infrastruktur sukan yang baharu.

"Saya tidak jangka kita akan belanja satu jumlah yang begitu besar seperti yang dibuat di Perlis," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir hoki lelaki Sukma Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.

Menurutnya kos penganjuran Sukma Perlis mencecah RM120 juta kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membina kemudahan sukan di negeri ini.

"Kos pembangunan infrastruktur sahaja sudah melebihi RM70 juta dan ini bukan kita hanya belanja untuk penganjuran Sukma tetapi kita gunakan untuk pembangunan sukan di negeri Perlis.

"Semua kemudahan baharu seperti pusat akuatik, gelanggang hoki dan dewan badminton...menambah baik venue lain termasuk stadium utama, adalah legasi Sukma kita untuk negeri Perlis," katanya.

Mengenai Sarawak yang bakal menjadi tuan rumah edisi 2016, Khairy berkata hanya sebuah pusat akuatik baharu akan dibina manakala negeri itu akan menggunakan kemudahan yang sedia ada.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment