Monday, June 23, 2014

‘Siapa pemain tanpa jurulatih?’

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan dan juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim mengakui jurulatih dan pegawai sokongan skuad Piala Thomas 2014 harus diberi ganjaran walaupun jumlahnya tidak sebesar pemain.

Hafiz yang juga ketua jurulatih Kelab Jaguh Tangkis yang berpangkalan di Kota Damansara berkata, tanpa jurulatih siapalah pemain.

“Jurulatih juga menanggung tekanan yang sama seperti pemain dan kita dapat lihat bagaimana perasaan mereka apabila berada di belakang gelanggang,” katanya.

Kelmarin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), memberi insentif RM25,000 kepada setiap pemain kerana kejayaan muncul naib juara pada Piala Thomas di New Delhi bulan lalu.

Bagaimanapun, hanya pemain yang diketuai Liew Daren, Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon yang menerima insentif itu, sebaliknya jurulatih mahupun pegawai sokongan tidak menerimanya, “Kalau tidak dapat sebanyak pemain, RM10,000 pun sudah mencukupi dan tidak akan ada isu.

“Separuh daripada pemain dapat, bagi saya sudah cukup kerana jurulatih juga memainkan peranan penting dan itulah yang sepatutnya dibuat BAM,” katanya.

Sementara itu, pasangan kembar, Hafifi Hashim-Hafizi Hashim mula menunjukkan taring apabila berjaya muncul juara acara beregu lelaki di Siri Antarabangsa Bahrain 2014 kelmarin.

Hafifi-Hafizi yang bernaung di bawah Kelab Jaguh Tangkis menewaskan pasangan tuan rumah, Al-Sayed Jafar Ebrahim Jafar-Heri Setiawan 19-21, 22-20, 21-19 dan ia kejohanan antarabangsa pertama beregu berusia 24 tahun itu.



Oleh Ferzalfie Fauzi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment