Thursday, June 05, 2014

Perdana Menteri Garis Empat Sebab SUKMA Dianjurkan



KANGAR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan mempunyai empat tujuan asas Sukan Malaysia (SUKMA) perlu dianjurkan bagi melahirkan barisan atlet pelapis negara.

Beliau berkata tujuan pertama adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu sebagai atlet pelapis bagi menggalas cabaran negara di persada antarabangsa.

"Baru-baru ini dalam pertandingan Piala Thomas, Malaysia nyaris menang tetapi kalah dan terpaksa menunggu dua tahun lagi. Kalau ada pemain pelapis berwibawa seperti Datuk Lee Chong Wei, kita pasti menang," katanya semasa berucap pada majlis penutupan SUKMA ke-17 Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Rabu malam.

Perdana Menteri berkata SUKMA adalah contoh bagaimana semua jenis sukan perlu dibangunkan supaya mutu sukan negara dapat dipertingkat, selain untuk memupuk, membina ketahanan fizikal, mental dan emosi mereka agar lebih berjaya di peringkat antarabangsa.

Najib berkata faktor kedua penganjuran SUKMA adalah untuk memberi peluang kepada pembangunan kemudahan sukan dan infrastruktur yang perlu supaya mencapai kejayaan dalam bidang itu.

"Siapa dapat bayangkan Perlis dapat stadium, kolam renang dan dewan badminton. Ini adalah kerana hasil Perlis menjadi tuan rumah dan bantuan kerajaan pusat menyediakan kemudahan-kemudahan ini. Saya harap Perlis akan jaga kemudahan ini sebaik-baiknya," katanya.

Perdana Menteri berkata sebab ketiga untuk memupuk gaya hidup sihat kerana mengikut kriteria kadar obesi di Malaysia adalah paling tinggi di Asia Tenggara.

Katanya Malaysia tidak patut berada dalam kategori ini tetapi kerana kurang cergas dalam bidang sukan dan rekreasi menyebabkan ramai rakyat menjadi obes.

"Kita hendak tekankan rakyat dapat membina badan menjadi sihat bagi menaikkan produktiviti dan seterusnya perbelanjaan untuk kesihatan dapat dikurangkan manakala kualiti hidup lebih makna," tambahnya.

Najib berkata berkata sukan juga menjadi wahana untuk memupuk perpaduan dan integrasi nasional sebagai tujuan asas keempat untuk terus menganjurkan SUKMA.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Perlis kerana dapat meraih 12 pingat emas yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri Indra Kayangan itu sejak temasya sukan itu mula dianjurkan pada 1986.

"Pada masa hendak menentukan siapa patut jadi tuan rumah SUKMA ke-17, ada yang sangsi apabila Perlis mahu menganjurkannya tetapi setelah temasya ini berakhir hari ini ternyata Perlis berjaya menganjurkannya.

"Saya ucap tahniah kepada Perlis kerana menggalas tangungjawab sebagai tuan rumah dengan penuh semangat dan merasa mereka menerima satu temasya yang paling besar dalam sejarah negeri Perlis," katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam ucapannya melahirkan rasa syukur kerana Perlis telah dapat menganjurkan sukan terbesar itu dengan jayanya untuk mencipta sejarah tersendiri.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada Perlis menjadi tuan rumah dan sokongan serta kerjasama Kementerian Belia dan Sukan bersama seluruh rakyat Perlis sehinggakan SUKMA kali ini berjalan lancar.

"Insya-Allah dengan semangat yang dipamerkan oleh seluruh atlet Perlis pada temasya ini, kita berada di landasan betul untuk menduduki dalam kelompok lima negeri terbaik selepas ini," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment