Monday, June 23, 2014

Perak ditawar tuan rumah Sukma 2018

IPOH - Perak ditawarkan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2018 namun sama ada negeri ini sanggup memikul tugas sebagai penganjur akan dikaji terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Belia negeri, Datuk Shahrulzaman Yahya yang mendedahkan perkara itu berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) membuat tawaran berkenaan baru-baru ini namun kerajaan negeri belum memberikan jawapan.

Menurutnya, banyak perkara perlu diteliti berhubung tawaran itu terutamanya kesediaan dan kebolehan Perak untuk menjadi penganjur selepas menjadi tuan rumah pada 1994.

"MSN menawarkan kita menjadi tuan rumah Sukma 2018 iaitu selepas Sarawak yang menganjurkan kejohanan pada 2016.

"Namun segala-galanya terpulang kepada kesediaan kita untuk menganjurkan temasya sukan ini. MSN perlu mengadakan kajian untuk mengetahui sama ada Perak memiliki prasarana yang diperlukan.

"Kajian harus dibuat untuk memastikan sama ada Perak benar-benar bersedia atau tidak untuk menjadi penganjur temasya sukan ini," katanya ketika berucap pada Penyampaian Skim Insentif Sukma Perlis di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Ketua Kontinjen Perak ke Sukma di Perlis, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Pada Sukma di Perlis baru-baru ini, Perak menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 24 pingat emas, 24 perak dan 36 gangsa.

Perak turut memenangi acara 'ibu segala pingat emas' iaitu acara bola sepak selain pasukan hoki lelakinya memenangi pingat emas selepas 12 tahun.

Pada majlis berkenaan, kontinjen olahraga muncul penerima insentif tertinggi yang berjumlah RM60,000 hasil kejayaan membawa pulang 6 emas, 6 perak dan 7 gangsa.

Sementara itu, Shahrulzaman berkata, ekoran pencapaian cemerlang kontinjen negeri ini pada Sukma lalu, Perak meletakan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada 2018.

"Tidak kira sama ada Perak menjadi tuan rumah Sukma pada 2018, sasaran kita adalah untuk muncul juara dalam tempoh empat tahun lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment