Wednesday, June 04, 2014

Penantian 12 Tahun Berakhir, Perak Juara Bola Sepak Sukma


KANGAR, 3 Jun (Bernama) -- Perak menamatkan kemarau 12 tahun untuk merebut ibu segala emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 apabila menewaskan Johor 3-1 pada final bola sepak di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam ini.

Perak membuka tirai jaringan seawal meinit ketujuh menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum Khairul Asyraf Sahizah menambah jaringan pada minit ke-17, hasil kesilapan penjaga gol Johor Sirajuddin Esa yang gagal menangkap bola dengan kemas.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Perak terus menguasai permainan dengan beberapa percubaan gol di gawang pasukan Harimau Selatan.

Bagaimanapun Johor menerima sepakan penalti berikutan pemain mereka dikasari oleh pasukan Perak di dalam kotak penalti.

Shafiq Shaharuddin menyempurnakan tendangan penalti buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-72.

Perlawanan semakin rancak pada babak kedua sebelum Muhammad Shahrel muncul wira buat skuad 'Boss Gaurus' dengan gol ketiga pada minit ke-88.

Kali terakhir Perak muncul juara ialah di Sukma Sabah pada tahun 2002 apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1.

Perak juga merupakan naib juara pada Sukma Pahang 2012.

Pingat gangsa menjadi milik Kedah selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Perlis 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Muhammad Syafiq Ahmad menjaringkan gol tunggal itu pada minit ke-70.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment