Monday, June 30, 2014

PDRM sedia lepas

Kuala Lumpur: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhajat besar memancing Dollah Salleh, pengendali itu hingga kini masih belum membuat kenyataan sama ada mahu menerima tawaran selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan kerana berada dalam dilema untuk melepaskan tugasnya bersama juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Badan induk bola sepak negara itu menerusi Mesyuarat Exco FAM kelmarin membuat keputusan menawarkan kontrak dua tahun kepada bekas penyerang kebangsaan Dollah bagi membimbing Harimau Malaya namun Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin mendedahkan hingga kini perkara itu belum lagi diputuskan.

“Dollah belum buat keputusan kerana berada dalam dilema selepas membantu PDRM memenangi Liga Perdana. Beliau mahu terus bersama pasukan ini khususnya bagi kempen Piala Malaysia serta Liga Super musim depan.

“Beliau baru saja ambil pasukan ini dan masih belum puas hati. Kalau boleh Dollah mahu pasukan yang dibentuknya berada dalam kedudukan kukuh. “Sebelum ini Dollah pernah memberitahu kami beliau sudah tiga kali menolak tawaran FAM dan kini berada dalam keadaan serba salah.

“Setakat ini juga FAM tidak pernah berbincang dengan kami, mungkin mereka hanya mengadakan perbincangan dengan Dollah saja. Tapi kami menyerahkan kepada Dollah untuk membuat keputusan, memang kalau boleh kami tidak mahu melepaskannya tapi kami juga perlu memberi keutamaan kepada kepentingan negara,” katanya.

Dollah, 50, menjadi pilihan FAM bagi mengambil tempat ditinggalkan Datuk K Rajagobal berdasarkan pengalamannya sebagai pemain dan kejayaannya selaku jurulatih termasuk memenangi tiga Piala Malaysia bersama Selangor MPPJ pada 2003, Selangor (2005) dan Pahang (2013).
Beliau kemudian tidak menunggu lama untuk menghadiahkan kejayaan kepada PDRM selepas mengikat kontrak pada November lalu apabila memastikan The Cops muncul juara Liga Perdana musim ini sekali gus layak secara automatik ke Liga Super tahun depan.

Selain pengalaman itu, FAM mengakui mereka kesuntukan masa untuk mencari pengganti bagi membuat persiapan Piala AFF hujung tahun ini menjadi antara faktor pemilihan itu memandangkan pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee sibuk menguruskan skuad Harimau Muda A manakala dua calon dari Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels pasti memerlukan masa lebih lama untuk menyesuaikan diri.

Menurut Muhammad Fuad, mereka berharap mereka boleh menggunakan khidmat Dollah sekurang-kurangnya bagi kempen Piala Malaysia pada Ogos ini sebelum beliau menyertai skuad kebangsaan.

“Kalau boleh biarlah beliau pergi selepas Piala Malaysia, sebab kami belum mempunyai penggantinya. Kalau Dollah pergi, pasti beliau akan membawa bersama pegawai kejurulatihan bersamanya, apa yang tinggal untuk PDRM? Kami harap perkara ini akan dibincangkan segera kerana kontrak Dollah masih ada hingga November ini dan terserah kepadanya untuk membuat keputusan,” jelasnya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment