Monday, June 23, 2014

Malaysia Tewaskan Singapura Untuk Bawa Pulang Piala Causeway Prudential


SINGAPURA, 22 Jun (Bernama) -- Pasukan golf Malaysia menumpaskan Singapura untuk menjuarai Kejohanan Golf Piala Causeway Prudential di lapangan Laguna National Golf and Country Club.

Walaupun mengalami kecederaan pada awal kejohanan, Rashid Ismail muncul wira apabila memungut mata kemenangan pada aksi yang mendebarkan dalam edisi kedua kejohanan itu.

Rashid yang tidak beraksi pada hari pembukaan kerana sakit belakang, memperoleh kesempatan untuk meraih halfpoint yang membolehkan pasukan pelawat meraih kemenangan dengan 12 - 11 dalam perlawanan berpasukan gaya Pialma Ryder.

Di akhir 12 perlawanan perseorangan, Choo Tze Huang perlu menewaskan Rashid untuk mengikat kedudukan keseluruhan dan jika berjaya, Singapura pasti dalam keadaan selesa untuk mempertahankan piala itu selaku juara bertahan.

Namun begitu Rashid, yang mendahului buat kali pertama di lubang ke-12, membuat kebangkitan dengan melakukan birdie di lubang ke-16 dengan pukulan yang menakjubkan dari jarak 117 meter untuk memastikan piala itu dalam genggaman.

Ketika bola mencecah lapangan untuk birdie untuk memastikan kemenangan Malaysia, Rashid, 41, dikerumuni rakan-rakan pasukan dengan penuh kegembiraan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob ialah antara mereka yang memberi tepukan atas kemenangan itu.

Berbekalkan kelebihan dua mata selepas lubang ke-16 dan kemenangan pasukan dalam genggaman, Rashid tercicir pada dua lubang akhir menjadikan kedudukan terikat 6-6.

Mendahului 6 - 5 pada aksi awal perseorangan, ketua pasukan Malaysia, CM Chong yang tidak beraksi, menyaksikan pasukannya mempamerkan aksi mempesonakan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia, David Ng, Ketua Pegawai Pemasaran Prudential Assurance Company Singapore (Pte) Ltd berkata: "Keazaman untuk menjulang Piala Causeway Prudential terserlah melalui semangat dan tenaga yang ditunjukkan sepanjang kejohanan, menjadikannya kemenangan berganda untuk Malaysia selepas pemain remaja menjuarai kejohanan Piala Remaja Causeway Prudential".


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment