Friday, June 27, 2014

Koleksi Wira Malaysia



Kuala Lumpur: “Kita bukan hanya melancarkan jersi dan corak baru baju atlet kebangsaan, tapi kita lancarkan sekali semangat baru, bermula dengan Sukan Komanwel 2014 Glasgow nanti,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Semalam Khairy melancarkan secara rasmi pakaian atlet kebangsaan yang diberi nama Koleksi Wira Malaysia hasil sentuhan pereka fesyen terkenal tempatan Melinda Looi.

“Ramai yang memberi komen positif ketika saya mempromosi pakaian rasmi atlet kebangsaan di laman sosial, namun tidak kurang yang memberi pendapat tidak guna pakaian garang tapi atlet tidak, namun inilah yang dikatakan impak psikologi,” katanya dalam ucapan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Menurutnya, pembangunan atlet bukan hanya terhadap pengasuhan bakat, tapi bagaimana cara memberi sokongan dan menaikkan moral.

“Sebelum melancarkan jersi Panthera pada 2005, atlet kita tidak ada pakaian seragam, tapi selepas itu ramai rakyat Malaysia memakainya ketika menyokong skuad badminton bertarung di Piala Thomas, memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan di stadium dan menyaksikan perlumbaan membabitkan Azizulhasni Awang serta Josiah Ng di velodrom.



“Saya rasakan sudah tiba masanya untuk meniup nafas segar dan corak baru ini juga lebih menarik, bertenaga serta garang meningkatkan keyakinan atlet yang menggalas harapan besar rakyat Malaysia,” katanya.
Khairy yang mula mendapat idea itu sejak awal tahun ini, mengambil contoh sentuhan pereka fesyen terkenal seperti Giorgio Armani yang menyediakan sut untuk skuad bola sepak Itali dan begitu juga Paul Smith bagi England.

“Majlis Sukan Negara (MSN) juga menandatangani dua perjanjian dengan syarikat swasta Sunrise Sports, pengedar jenama Yonex iaitu pengeluar rasmi pakaian kebangsaan dengan corak baru ini akan digunakan atlet serta pegawai hingga 2020.

“Pakaian untuk atlet ini merangkumi baju trek lengkap, kemeja-T berkolar dan tidak berkolar, topi serta beg bernilai RM669.40. Yonex akan menyumbangkan tajaan ini kepada MSN sebanyak 10,000 set bersamaan dengan RM6.69 juta. Ia akan dipakai atlet negara di Sukan SEA 2015, 2017 dan 2019, Sukan Komanwel 2018, Sukan Asia 2019 dan Sukan Olimpik 2016 serta 2020,” katanya.

Perjanjian kedua pula membabitkan MSN dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang akan menjual jersi kepada orang ramai hingga 2016.

Pada majlis itu juga, MSN menyumbang RM50,000 kepada Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MyCAT) hasil royalti penjualan jersi Panthera.

“Kita rasa bersalah jika tidak bekerjasama dengan pertubuhan ini kerana kita bangga dengan jersi dengan corak belang Harimau Malaya, tapi tidak sedar binatang itu makin pupus kerana pemburuan haram yang tidak terkawal,” kata Khairy.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment