Monday, June 23, 2014

Khairy Sasar Skuad Sepak Takraw Muncul Juara Sukan SEA 2017


PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin optimis skuad sepak takraw negara berpontesi mendapat pingat emas pada Sukan SEA 2017.

Khairy berkata sasaran itu akan tercapai jika semua pihak termasuk kementerian dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat persiapan rapi dan sistematik.

"Sasaran tidak bermakna sekiranya tiada usaha untuk kita merealisasikan sasaran tersebut. Saya yakin skuad negara mampu mengembalikan semula gelaran juara bagi sukan tradisi kita ini.

Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi pada Sukan SEA tahun depan di Singapura kerana masa terlalu suntuk, jadi kementerian dan persatuan PSM akan berbincang tentang program khas untuk membangunkan semula sukan sepak takraw," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2014 di Alamanda, Putrajaya.

Dalam pada itu Khairy menekankan sukan tradisi negara iaitu sepak takraw memerlukan sentuhan baharu yang melibatkan kerjasama semua pihak untuk meletakkan pasukan negara menjadi skuad nombor satu dunia.

"Kita kena menerima hakikat bahawa sukan tradisi bukan menjadi jaminan bahawa negara itu akan menjadi pasukan terbaik dalam sukan berkenaan.

Kalau berdasarkan tradisi sahaja, tetapi tiada usaha untuk mengekalkan dan membangunkan bakat-bakat baru dan pelapis, kita tidak boleh anggap kedudukan kita diperingkat tertinggi itu terjamin selama-lamanya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment