Monday, June 09, 2014

‘Jangan kalah’

“Kami kena kuatkan semangat dan terus bermain untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.”
Demikian pandangan ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjelang pertemuan getir menentang Sepanyol hari ini dan ia adalah peluang terakhir untuk mengutip tiga mata berharga bagi mengelak daripada perlu beraksi untuk penentuan tempat tercorot.

Bagi Dhaarma, semangat tinggi yang diperlu disematkan dalam hati setiap pemain adalah antara ‘senjata’ paling penting untuk memastikan Malaysia tidak mengalami kekalahan lanjut sekali gus tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.

Sebelum ini, anak buah Dhaarma tewas dalam empat perlawanan berturut-turut iaitu di tangan Australia, Belgium, England dan India.

“Pemain perlu kurang membuat kesilapan mudah yang menyebabkan lawan melancarkan serangan balas.

“Sepanyol bukanlah pasukan yang mudah dan pemain mereka ketika ini berada pada tahap terbaik untuk meraih kemenangan.

“Yang penting ialah pemain perlu ingat jika seri atau kalah kita terpaksa bermain untuk kedudukan tempat ke-11/12,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dhaarma turut mengesahkan selain penyerang negara Hafifi Hafiz Hanafi yang perlu berehat selama lapan minggu berikutan kecederaan di bahu kanannya, baki 17 lagi pemain cergas sepenuhnya dan boleh diturunkan hari ini.

“Apapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, situasi di Piala Dunia memang sukar tetapi kami tidak pernah putus asa daripada cuba dan terus mencuba untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.


No comments:

Post a Comment