Tuesday, June 10, 2014

Harapan buru kedudukan ke-10 lebur


KUALA LUMPUR - Harapan skuad hoki negara dalam usaha memburu kelompok 10 terbaik Piala Dunia berkecai apabila tewas 5-2 kepada Sepanyol pada perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan di Stadium GreenFields, The Hague, Belanda semalam.

Lebih malang lagi, skuad anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah gagal meraih sebarang mata dalam saingan peringkat Kumpulan A sekali gus menduduki tempat tercorot dalam persaingan antara enam pasukan itu.

Skuad kebangsaan kini sekadar berupaya merebut tempat di dalam saingan klasifikasi 11 atau 12 selepas ini.

Dalam perlawanan tersebut, Sepanyol terlebih dahulu membolosi gawang negara apabila berjaya meledakkan gol pembukaan perlawanan yang disempurnakan oleh Gabriel Dabanch menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13 untuk mendahului 1-0.

Namun, kegembiraan pasukan No. 10 dunia itu tidak kekal lama apabila Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 apabila Tengku Ahmad Tajuddin menyumbat gol menerusi jaringan padang pada minit ke-24.

Malaysia terus dirundung malang apabila Sepanyol bijak menggunakan peluang pada babak pertama untuk mendahului 2-1 hasil jaringan Marc Salles pada minit ke-33.

Anak buah Muhd. Dharmaaraj Raj Abdullah cuba bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan namun Sepanyol jelas lebih bertenaga apabila menjaringkan dua gol berturut-turut untuk mendahului 4-1 menerusi Santi Freixa dan Gabriel Dabanch, masing-masing pada minit ke-37 dan 46.

Malaysia merapatkan jurang gol menerusi pukulan penalti stroke oleh Fitri Saari pada minit ke-51 namun Sepanyol terus melenyapkan harapan negara apabila Sergi Enrique menghasilkan gol kelima pasukannya seminit sebelum permainan tamat.

No comments:

Post a Comment