Tuesday, June 24, 2014

Dollah calon jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR - Jurulatih PDRM FC, Dollah Salleh me­ngakui namanya telah dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjawat jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan AFF November ini.

Bekas penyerang skuad kebangsaan itu bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada keputusan yang boleh dibuatnya memandangkan masih terikat dalam kontrak dengan PDRM, juara Liga Perdana 2014.

"Yang boleh saya cakap ialah tawaran FAM itu memang ada. Ura-uranya saya antara empat calon kalangan jurulatih tempatan," katanya yang turut me­ngakui pernah berjumpa dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin.

Dollah juga mengandaikan FAM masih menimbangkan pelantikan daripada kalangan calon jurulatih asing bagi mengisi kekosongan jawatan selepas khidmat Datuk K. Rajagobal tidak disambung Disember tahun lalu.

Nama pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 dan Pestabola Merdeka 1986 dan 1993 ini kembali diperkatakan selepas ‘sentuhan midasnya’ terbukti lagi dengan membawa The Cops bergelar juara Liga Perdana, Jumaat lalu.

Datuk Ong Kim Swee masih menjadi jurulatih sementara skuad negara sejak menghadapi Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 Mac lalu selain mengendalikan Harimau Muda A.

FAM juga terpaksa menolak pengambilan Philippe Troussier yang membantu Jepun menjuarai Piala Asia 2000, naib juara Piala Konfederasi FIFA 2001 dan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2002, apabila warga Pe­rancis itu menuntut gaji tahunan RM5 juta dan mengenakan syarat yang hanya menguntungkannya.

No comments:

Post a Comment