Monday, June 09, 2014

Cheong Gagal Ulangi Pencapaian Pingat Perak Dalam Acara Individu

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Penerjun negara Cheong Jun Hoong menduduki tangga tercorot dalam acara 3m papan anjal individu wanita pada pusingan akhir Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di di Monterrey, Mexico.

Cheong, yang merangkul pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama pada Sabtu, hanya mengumpul 344.60 mata untuk menduduki tempat terakhir dalam kalangan enam penerjun.

China meneruskan penguasaan apabila Shi Tingmao menungguli acara itu dengan 369.90 mata, menurut laman web Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) www.fina.org pada Ahad.

Penerjun Mexico Laura Sanchez merangkul pingat perak dengan 362.40 mata manakala Jennifer Abel dari Kanada memperoleh pingat gangsa dengan catatan 351.55 mata.

Selepas pusingan akhir kejohanan itu, dua tempat teratas dikuasai oleh penerjun China iaitu Wang Han dengan 82 mata dan He Zi (70 mata) manakala tempat ketiga keseluruhan oleh penerjun Itali, Tania Cagnotto dengan 66 mata.

Cheong dan seorang lagi wakil negara Ng Yan Yee masing-masing menduduki tempat kesembilan dan 17 dengan 26 dan lima mata.

Pandelela akan bersaing dalam acara kegemarannya, 10m platform individu, lewat hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment