Wednesday, June 04, 2014

‘Beri pada yang mampu’


Kangar: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang mengurangkan bajet penganjuran SUKMA akan datang selain mengetatkan syarat kepada mana-mana negeri berhasrat menjadi penganjur.

Menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihaknya hanya akan menawarkan status selaku tuan rumah kepada negeri yang difikirkan mampu menganjurkan temasya itu berdasarkan bajet tertentu.

“Saya sudah arahkan Datuk Zolkples (Embong) untuk mengurangkan kos penganjuran, bahkan perbelanjaan pembangunan juga kita akan kurangkan.

“Kita akan menawarkan kepada mana-mana negeri yang boleh menganjurkan SUKMA mengikut bajet ditetapkan Kerajaan Persekutuan, terutama dari segi peruntukan pembangunan,” katanya pada sidang akhbar di gelanggang hoki Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Difahamkan, bajet penganjuran SUKMA Perlis mencecah RM120 juta kerana negeri itu tidak mempunyai prasarana seperti stadium dan beberapa venue berkaitan.

Daripada jumlah itu, RM70 juta diperuntukkan untuk pembangunan serta kemudahan sukan seperti gelanggang Hoki, Pusat Akuatik serta kerja menaik taraf beberapa venue lain.

“Kita akui perbelanjaan SUKMA kali ini amat tinggi memandangkan banyak kemudahan sukan yang tidak terdapat di sini. Kementerian terpaksa membelanjakan sekitar RM120 juta untuk keseluruhan penganjuran.

“Walaupun jumlahnya besar, tapi ia berbaloi kerana semua kemudahan terbabit boleh digunakan semua warga Perlis selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment