Tuesday, June 03, 2014

Australia Bermula Garang Tundukkan Malaysia 4-0


KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Malaysia nyata bukan tandingan juara bertahan, Australia selepas dibenam 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda, pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan corak pantas dengan misi memburu jaringan awal apabila saling mengasak kubu masing-masing.

Biarpun Malaysia dianggap 'kerdil' dengan Australia, namun skuad negara berjaya memberi tentangan dan hampir mencalar imej pasukan gergasi dunia itu apabila menerima pukulan sudut penalti pada minit ke-12.

Bagaimanapun, percubaan penyerang Faizal Saari itu diselamatkan oleh penjaga gol skuad 'Kookaburras', Andrew Charter.

Kelalaian pertahanan negara pada penghujung babak pertama pantas dihukum oleh pemain Australia, Glen Turner yang membuat larian solo sebelum mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar pada minit ke-25.

Eddie Ockenden menggandakan jaringan untuk Australia pada minit ke-50 selepas beliau bijak menewaskan beberapa pemain negara sebelum melepaskan pukulan kencang yang tepat menuju ke penjuru kanan gol Malaysia.

Pemain veteran Australia, Jamie Dwyer menambah derita Malaysia dengan gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-52.

Turner meraih gol kedua peribadi perlawanan, dua minit kemudian apabila pukulan percuma yang diambil oleh Chris Ciriello terkena kayu hokinya sebelum membias masuk ke dalam gol skuad negara.

Australia terus menggandakan asakan ke kubu Malaysia bagi menambah jaringan namun pertahanan negara kental bertahan sehingga tamat perlawanan.

Malaysia akan bertemu Belgium pada aksi kedua kumpulan A di Stadium Green Fields, The Hague manakala Australia berdepan naib juara dua kali, Sepanyol di Stadium Kyocera.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung Isnin ini.

Dua lagi aksi kumpulan A melibatkan pertemuan England dan Sepanyol serta Belgium menentang India, lewat Sabtu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment