Thursday, May 22, 2014

Tiada tiket automatik


Kuala Lumpur: “Tiada tempat automatik buat pelumba trek negara ke Sukan Komanwel dan Asia.”
Itu pendirian tegas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu barisan pelumba negara terlebih dulu membuktikan kemampuan masing-masing di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kazakhstan yang bermula hari ini.

“Saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih negara, John Beasley dan beliau bersetuju pelumba negara perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kelima di ACC untuk terpilih. Tiada tempat automatik buat mereka sekiranya mahu tersenarai dalam dua kejohanan tahun ini walaupun mereka nama besar,” kata Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad.

Peringatan itu memberi isyarat jelas kepada barisan pelumba negara seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Edrus Mohd Yunos, Muhammad Shah Firdaus, Mohd Harrif Salleh, Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Firdaus Mohd Zonis, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet untuk menghasilkan keputusan terbaik di Velodrom Saryarka, Astana. “Kami di PKBM perlu memberi keyakinan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai jawatankuasa pemilih bahawa pelumba yang terpilih berdasarkan merit atau kebolehan dipamerkan,” katanya.

Acara trek menjadi sandaran utama buat kontinjen negara di dua temasya berkenaan selepas kemampuan dipamerkan mereka pada edisi empat tahun lalu.

Untuk Sukan Komanwel 2010, skuad trek negara menyumbang satu emas menerusi Josiah dan perak menerusi Mohd Rizal Tisin manakala Azizulhasni menyumbang satu emas di Sukan Asia.
FotoAZIZULHASNI (depan) harus pamer aksi terbaik untuk terpilih ke Sukan Komanwel dan Asia.
Beasley tidak meletakkan sasaran khusus untuk ACC namun mahu sekurang-kurangnya dua pingat emas diraih anak buahnya.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment