Thursday, May 08, 2014

Tiada perubahan calon: Hamidin

Kuala Lumpur: Tiada sebarang perubahan dalam saingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila tiga calon yang diumumkan sebelum ini masih kekal bertanding.

Penyandang Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih berada dalam senarai untuk merebut jawatan berkenaan yang sudah dipegang Sultan Ahmad Shah sejak 30 tahun lalu.

Malah Tunku Ismail sendiri masih belum menarik diri daripada merebut jawatan nombor satu itu walaupun sebelum ini mendakwa pemilihan jawatan berkenaan pada 25 Mei ini tidak ubah seperti penyerahan jawatan di kalangan ahli keluarga.

Beliau merujuk kepada penyerahan jawatan berkenaan oleh Sultan Ahmad Shah kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi petang semalam mengesahkan saingan membabitkan jawatan presiden masih kekal membabitkan tiga individu berkenaan.

“Hingga kini tiada calon menarik diri.

Bukan saja jawatan presiden, malah jawatan lain seperti timbalan presiden, naib presiden dan EXCO juga tidak berubah,” kata Hamidin.

Kongres tahunan FAM ke-50 itu nanti akan memilih barisan kepimpinan baru untuk mentadbir sukan nombor satu negara dengan Sultan Ahmad Shah mendapat lima pencalonan daripada ahli gabungan untuk mempertahankan jawatan disandangnya sejak 1984.

Tengku Abdullah yang dilihat ramai pihak sebagai calon terbaik mengisi tampuk kepimpinan FAM untuk tempoh empat tahun akan datang itu mendapat 12 pencalonan manakala Tunku Ismail yang melakukan revolusi bola sepak di Johor sehingga mengangkat Johor Darul Ta'zim menjadi pasukan disegani dalam kancah bola sepak tempatan mendapat tiga pencalonan.

Saingan sengit turut membabitkan dua kerusi timbalan presiden apabila tiga calon bersaing dengan Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah yang mempunyai pengalaman luas mengurus pentadbiran bola sepak negara kerana mengisi kerusi naib presiden penggal ini akan dicabar Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment