Wednesday, May 21, 2014

Tengku Abdullah Minta Semua Pihak Terima Senarai Akhir 18 Pemain Hoki Ke Piala Dunia


KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta kesemua pihak menerima dengan hati terbuka senarai akhir 18 pemain ke Kejohanan Piala Dunia 2014 yang berlangsung dari 31 Mei hingga 18 Jun di The Hague, Belanda.

MHC dijangka mengumumkan senarai pemain ke edisi ke-13 kejohanan itu esok.

"Saya harap selepas kita namakan, tidak akan ada kontroversi. Kita kekal fokus (untuk Piala Hoki Dunia 2014) dan itu arahan saya," kata baginda selepas menerima cek penajaan RM4 juta daripada Yayasan Sime Darby di sini hari ini.

Penajaan selama dua tahun bermula 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016 itu antara lain bertujuan membantu skuad lelaki dan wanita negara dalam penyertaan kejohanan tempatan dan luar negara meliputi tiket penerbangan, penginapan dan pakaian rasmi pasukan.

Ia disampaikan oleh Anggota Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby Datin Paduka Zaitoon Othman.

Dalam pada itu, ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata hanya pemain terbaik akan beraksi di Belanda, sambil menegaskan tiada dasar pilih kasih dalam pemilihan pemain.

Bekas pengendali skuad projek 2013 itu berkata, skuad hoki negara akan bertolak ke Belanda pada Jumaat ini dan dijangka mengharungi tiga aksi pemanas badan iaitu berdepan pasukan tuan rumah pada Ahad selain dua pertemuan dengan kelab tempatan di sana, masing-masing pada 27 dan 29 Mei ini.

Skuad negara berdepan laluan getir pada Piala Dunia 2014 selepas diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment