Wednesday, May 14, 2014

Tak perlu rehat Chong Wei


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek tidak berani mengambil risiko untuk merehatkan Datuk Lee Chong Wei dan memberi peluang kepada pemain lain memikul tugas pemain perseorangan pertama pada saingan Piala Thomas bermula 18 Mei ini di New Delhi, India.

Sebaliknya, Rashid yang turut memikul tugas ketua projek bagi saingan itu berkata, khidmat Chong Wei ditagih pada setiap perlawanan, meskipun lawan yang ditemui lebih lemah.

Rashid menegaskan, untuk apa mengambil risiko merehatkan Chong Wei sedangkan pemain nombor satu dunia itu pasti mengutip mata negara.

Tiga lagi pemain perseorangan ialah Chong Wei Feng, Liew Daren serta Goh Soon Huat.

FotoRASHID (kanan) yakin keupayaan Chong Wei.

“Kalau kami rehatkan Chong Wei, apa jaminan pemain lain dapat berikan mata.

“Andai Chong Wei tak main, peluang kita untuk mengutip mata 50-50.

“Kalau Chong Wei diturunkan, sudah tentu peluang kita lebih cerah. Lebih baik dia main.

“Kenapa kami perlu turunkan pemain lain yang belum tentu memberi mata untuk skuad negara?,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan semalam.

Jelas Rashid, strategi menurunkan pemain hanya akan dilakukan sebelum satu-satu perlawanan dan Chong Wei sah ada.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Korea, Jerman dan India.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - The Star

No comments:

Post a Comment