Thursday, May 15, 2014

Skuad Piala Thomas Perlu Bermain Lebih Daripada Tahap Kemampuan - Rashid

SEPANG, 15 Mei (Bernama) -- Walaupun bukan pilihan, skuad badminton Malaysia diminta yakin dapat mengalahkan pasukan lawan pada Kejohanan Piala Thomas jika mereka beraksi melebihi tahap kemampuan masing-masing.

Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata faktor utama kejayaan skuad kebangsaan meraih kejuaraan Piala Thomas 1992 ialah semangat berpasukan dan saingan luar biasa yang dipamerkan oleh pemain.

"Pada 1992, bagi saya, ketika itu pasukan Piala Thomas biasa sahaja tetapi banyak faktor yang mendorong kemenangan kita itu seperti faktor nasib dan kebetulan pula semua pemain beraksi melebihi tahap prestasi mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Khamis.

Skuad badminton negara akan memulakan saingan peringkat kumpulan Piala Thomas dan Uber pada Ahad sehingga 25 Mei di New Delhi, India.

Malaysia memenanginya pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992 manakala Indonesia melakukannya 13 kali pada 1958, 1961, 1964, 1970, 1973, 1976, 1979, 1984, 1994, 1996, 1998, 2000 dan 2002.

China pula merangkul piala itu sembilan kali pada 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006 dan 2008, 2010 dan 2012.

Sementara itu, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata sebagai pemain senior, beliau berharap skuad Piala Thomas kali ini memberi kerjasama dan sokongan kepada pasukan serta tidak mudah patah semangat.

"Saya berjanji pasukan akan buat yang terbaik, kami akan lawan habis-habisan. Saya harap rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada pasukan Piala Thomas dan Uber kali ini. kejohanan ini sangat penting buat negara," kata Chong Wei.

Selain Chong Wei, turut disenaraikan dalam skuad Piala Thomas ialah kapten pasukan Liew Daren, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat dalam acara perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki diwakili Hoon Thien How/Tan Wee Kiong; Tan Boon Heong/Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah/Goh V Shem.

Pasukan Piala Uber pula diwakili Tee Jing Yi, Yang Li Lian, Lim Yin Fun, Lim Chiew Sien (perseorangan) selain Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei, Amelia Anscelly/Soong Fie Cho, Lim Yin Loo/Lee Meng Yean bagi kategori beregu wanita.

Cabaran pasukan Piala Thomas kali ini menyaksikan Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan C bersama India, Korea Selatan dan Jerman manakala juara bertahan, China berada dalam Kumpulan D bersama Taiwan, Rusia dan Perancis.

Kumpulan A terdiri daripada Indonesia, Thailand, Singapura dan Nigeria manakala Kumpulan B pula menyaksikan saingan Jepun, Denmark, Hong Kong dan Thailand.

Pasukan Uber negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Denmark dan Jerman. Kumpulan A (China, Taiwan, England dan Rusia); Kumpulan B (Korea Selatan, Indonesia, Australia dan Singapura) dan Kumpulan C (Thailand, India, Kanada dan Hong Kong).



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment