Monday, May 05, 2014

Skuad hoki perlu tingkatkan kecergasan

TAHAP kecergasan skuad hoki kebangsaan perlu diperbaiki sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala Dunia di Belanda hujung bulan ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, itu adalah arahan baginda kepada jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

"Saya tidak mahu menyentuh soal pemilihan pemain kerana itu tanggungjawab jurulatih, dia sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya berikan fleksibiliti itu kepada jurulatih, sama ada dia mahukan pemain junior atau senior namun apa yang lebih penting saya mahu tahap kecergasan mereka diperbaiki," titah baginda selepas menyempurnakan seminar kejurulatihan dan pengadilan hoki di Kuantan semalam.

Pasukan hoki kebangsaan tewas di tangan Kanada pada pusingan separuh akhir Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 yang berlangsung di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan meskipun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Faktor keletihan dilihat antara punca skuad negara sering melepaskan peluang menjaringkan gol dalam aksi separuh masa kedua perlawanan tersebut.

Situasi tersebut turut dapat dilihat dalam perlawanan menentang New Zealand yang mana skuad negara mendahului 4-1 selepas tamat separuh masa pertama sebelum diikat 4-4 pada separuh masa kedua meskipun akhirnya berjaya memenanginya menerusi penentuan pukulan penalti.

Titah Tengku Abdullah, semua pihak tidak perlu gusar dengan kegagalan skuad negara untuk mara ke final seperti yang disasarkan sebelum ini memandangkan skuad tersebut masih baharu dan belum benar-benar mantap.

"Mereka berusaha keras, kita nampak mereka 'terbang; sana, terbang sini (dalam perlawanan), itu bermakna semangat mereka kental, saya berharap ini kekal dan saya berbangga.

"Kita tak kalah teruk, hanya kalah satu gol dalam penentuan pukulan penalti," katanya.
Mengulas mengenai persediaan skuad negara menghadapi Piala Dunia, Tengku Abdullah menjelaskan ia sudah hampir selesai.

"Saya nak kata 100 peratus tidak, tapi dalam 80 peratus dah tercapai.

"Kita kena bagi sedikit sebanyak pujian kerana jurulatih berani buat pembaharuan dengan memasukkan pemain-pemain muda," katanya.

No comments:

Post a Comment