Monday, May 05, 2014

‘Saya janji bawa pembaharuan’

Johor Bahru: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedar ramai orang lama dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahukannya menerajui badan induk itu.

Menurutnya, segelintir daripada mereka sukar ‘cari makan’ jika beliau menang pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM 25 Mei ini.

“Saya tahu ramai orang lama dalam FAM tidak mahu saya berada dalam FAM kerana kalau saya ada mereka tidak boleh buat duit, tidak ada pendapatan sampingan, tidak ada perniagaan kerana 100 peratus dalam penguasaan saya,” katanya pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Beliau mengulangi pendiriannya sebelum ini tidak berminat dengan jawatan tertinggi FAM.
Namun menurutnya, jika terpilih sebagai presiden beliau akan membawa pembaharuan dalam arena bola sepak negara dan mengucapkan syabas jika kemenangan berpihak kepada pihak lawan.

“Jika saya terpilih sebagai Presiden FAM saya akan membawa pembaharuan dalam bola sepak negara termasuk soal akademi, pengadilan profesional dan saya tidak akan memberi alasan seolah-olah saya tidak ada bajet dan tidak akan membuang masa saya menghantar pasukan bermain di Australia.

“Saya akan fokus pembangunan bola sepak tanah air serta memastikan persatuan negeri meningkatkan standard mereka dan memainkan peranan untuk akar umbi bola sepak dalam negara,” katanya.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment