Monday, May 19, 2014

Promosi Perlumbaan Udara Dunia Red Bull Di Putrajaya Perlu Ditingkatkan - Khairy


PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu kerja mempromosikan penganjuran pusingan Malaysia dalam siri Perlumbaan Udara Dunia Red Bull diperhebatkan pada edisi akan datang.

Katanya beliau mahu penganjur perlumbaan, Aerolomba Sdn Bhd tampil berbincang dengan kementeriannya untuk memastikan penganjuran tersebut lebih sukses terutamanya dalam menarik kehadiran peminat tempatan dan antarabangsa.

"Untuk penganjuran kali pertama ini saya tidak nafikan ada sedikit kelemahan tetapi maklum balas yang diterima, sirkit di Putrajaya antara yang terbaik di antara lapan venue yang dipertandingkan dalam siri dunia.

"Jadi kita perlu membuat penambahbaikan untuk tahun berikutnya. Kita mempunyai kontrak penganjuran selama tiga tahun dan dua tahun pilihan.

"Jadi kerajaan dapat membuat keputusan sama ada kita mampu ataupun tidak untuk menyokong penganjuran perlumbaan ini diadakan setiap tahun.

"Perlumbaan ini boleh menjadi salah satu kejohanan penting dalam kalendar perlancongan sukan negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pusingan ketiga di sini Ahad.

Perlumbaan akhir kelas Master menyaksikan Nigel Lamb dari Britain muncul juara dengan catatan masa terpantas satu minit 15.023 saat.

Naib juara menjadi milik Hannes Arch dari Austria (1:15.597s) manakala tempat ketiga Matt Hall dari Australia dengan 1:15.691s.

Putrajaya merupakan venue ketiga daripada lapan venue termasuk selepas ini di Gdynia, Poland pada 26-27 Julai, Ascot, Britain (16-17 Ogos), Dallas Forth Worth, Amerika Syarikat (6-7 Sept), Las Vegas, Amerika Syarikat (11-12 Okt) dan China (1-2 Nov).

Perlumbaan tersebut telah berlangsung di dua tempat iaitu di Abu Dhabi pada 28 Feb-1 Mac dan Rovinj, Croatia pada 12-13 April lepas.

Aerolomba merupakan syarikat yang memudahkan penyelarasan logistik, penginapan dan memperkenalkan dunia perniagaan dan organisasi tempatan.

Perlumbaan udara itu merupakan 'aerosports' melibatkan perlumbaan kelajuan tinggi pada paras ketinggian rendah dengan menggunakan kapal terbang khusus.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment