Friday, May 30, 2014

Program berbeza buah hasil



Sepang: Program latihan baru nyata membuahkan hasil buat pelumba trek negara, Azizulhasni Awang yang kembali pada tahap terbaik selepas menjuarai acara pecut individu di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Astana, Kazakhstan baru-baru ini.

Menurut pelumba Olimpik negara itu, ketua jurulatih John Beasley menyediakan program latihan berlainan berbanding pelumba negara yang lain di Australia kerana saiz fizikalnya dan mempunyai masa yang terhad kerana terikat dengan pengajian.

Malah pelumba kelahiran Terengganu itu terlepas Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara di Kuala Lumpur awal bulan ini, aksi pemanas badan sebelum ke ACC kerana persediaan menghadapi peperiksaan.

“Saya bersyukur kerana prestasi meningkat, saya bekerja keras sejak awal musim ini dan nampaknya program baru ini membuahkan hasil dengan Beasley turut berpuas hati.

“Sekurang-kurangnya saya sudah kembali meraih pingat emas di pentas antarabangsa selepas lima tahun sekadar meraih perak dan gangsa,” katanya yang menjuarai acara pecut individu dan perak dalam acara keirin.

Malah Azizul mencatatkan masa terpantas untuk pelumba pertama dalam acara pecut berpasukan namun kegagalan pelumba kedua dan ketiga negara meneruskan rentak menyebabkan mereka tersingkir.

Mengenai Sukan Komanwel dan Asia tahun ini, Azizul berkata, tumpuannya lebih terarah ke Sukan Asia dengan misi meraih kejayaan dalam dua acara kegemarannya, pecut individu dan keirin.
“Bukan mengetepikan Sukan Komanwel, saya turut memberi fokus sama demi negara.

Saya akan fokus dalam acara keirin di Scotland kerana peluang lebih cerah memenangi pingat namun sekiranya mempunyai peluang dalam acara pecut, saya tetap akan mencuba,” katanya.

Selain gembira dengan kebangkitan yang dipamerkan Azizul, Beasley turut bangga dengan kejayaan pelumba junior negara, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang mempertahankan tiga pingat emas dimenanginya di ACC tahun lalu dengan kali ini melakar satu rekod Asia.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment