Monday, May 12, 2014

PM Rai Kontinjen Hoki Negara Dalam Jamuan Tengah Hari


PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan kontinjen hoki negara dalam majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana di sini Isnin.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam ucapannya, perdana menteri berharap skuad hoki negara dapat mempamerkan tahap disiplin yang tinggi serta bermain dengan semangat berpasukan.

"Jangan terlalu tertekan dan fikirkan tentang ranking pasukan lain, apa yang penting ikuti arahan taktikal yang diberikan jurulatih," katanya.

Dalam Kejohanan Hoki Dunia yang akan berlangsung di The Haque, Belanda dari 31 Mei hingga 15 Jun ini, pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan terbaik dunia antaranya Australia, England, India dan Sepanyol.

Najib turut berharap semua pemain akan beraksi dengan penuh dedikasi berbekalkan semangat juang yang tinggi demi negara.

"Itulah harapan dan doa bukan sahaja daripada saya malah juga seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan yang dicapai itu juga nanti sekali gus dapat memperbaiki kedudukan pasukan hoki dalam ranking dunia," katanya.

Kontinjen hoki negara dijangka berlepas ke Belanda pada 23 Mei ini. Kali terakhir Malaysia menyertai kejohanan dunia adalah pada 2002 semasa menjadi tuan rumah kejohanan itu di Kuala Lumpur.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment