Friday, May 09, 2014

PKBM anggap Anuar tidak cukup bagus


Kuala Lumpur: Pelumba pecut negara, Anuar Manan (gambar) terus kempunan untuk menyarung jersi negara apabila tidak tersenarai antara lima pelumba dalam acara lepas beramai-ramai di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2014 di Astana, Kazakhstan, bermula 21 Mei ini.
Kali terakhir pelumba profesional Terengganu Cycling Team (TSG) itu terpilih mewakili negara di Sukan Komanwel 2010 India.

“Anuar sememangnya mahu mewakili negara, saya ada melihat dia bersaing di Piala Ketua Menteri Melaka, 27 April lalu namun dia gagal menamatkan perlumbaan.

“Kalau terpilih, memang bagus juga kerana dia mempunyai kekuatan,” kata jurulatih negara, Aminuddin Sulaiman.
Foto

Kejohanan di Melaka itu sudah diumumkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebagai asas pemilihan skuad negara ke Astana.

“Saingan di ACC berkonsepkan perlumbaan sehari, kita perlukan kepantasan dan ketahanan apabila perlumbaan membabitkan jarak mencecah 200 kilometer,” katanya.

Pelumba Pro Tour pertama negara, Loh Sea Keong yang kini berada di Eropah bersama pasukan Giant-Shimano mengetuai senarai lima pelumba negara yang terpilih selain Mohd Zamri Salleh, Suhardi Hassan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Saiful Anuar Aziz manakala Mohd Fauzan Ahmad Lutfi akan bersaing dalam acara ujian masa individu.

Mengulas pemilihan Sea Keong, Aminuddin berkata, beliau melihat pelumba itu yang beraksi di tahap tertinggi pasti mempunyai ramuan diperlukan untuk membantu skuad negara.

“Sepatutnya dia sudah berada pada tahap berlainan selepas berada di sana beberapa bulan. Kepakaran dimilikinya mungkin boleh digunakan dalam perlumbaan,” jelasnya.

Skuad lebuh raya negara menetapkan sasaran lima tempat teratas selepas menduduki tempat kelapan menerusi Mohd Harrif Salleh, tahun lalu.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment