Wednesday, May 21, 2014

Piala Uber: Malaysia tersingkir



KEMENANGAN Jing Yi dalam perseorangan pertama tidak membawa makna kepada skuad Piala Uber negara.


NEW DELHI, India - Tee Jing Yi sekali lagi berjaya melakar kejutan menumbangkan pemain ranking lebih baik daripadanya, namun dia gagal mendapat sokongan rakan-rakan sepasukan yang menyaksikan Malaysia tersingkir pada saingan Piala Uber selepas tunduk 1-4 kepada Jepun semalam.

Selepas mengejutkan pemain utama Denmark, Line Kjaersfeldt 21-14, 22-20 kelmarin, Jing Yi melakar kejutan lebih besar semalam apabila menundukkan pemain No. 13 dunia, Sayaka Takahashi 22-20, 21-19, sekali gus memberikan permulaan baik buat pasukan negara pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Siri Fort itu.

Malangnya, usaha keras Jing Yi sekali lagi sia-sia apabila tiada satu pun mata berjaya diberikan oleh empat lagi wakil negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, Lim Yin Fun, Vivian Hoo-Lee Meng Yean serta Lim Chiew Sien, sekali gus menyingkirkan Malaysia daripada persaingan lebih awal.

Walaupun mereka masih mempunyai satu perlawanan untuk dilengkapkan hari ini, namun apa pun keputusan yang dicatat menentang Jerman, ia tidak akan memberi makna kerana Jepun dan Denmark sudah menempah tiket suku akhir daripada Kumpulan Z.

Bagi Jing Yi, 24, dia tidak mahu menyalahkan rakan-rakan sepasukan atas kegagalan memenuhi misi layak ke suku akhir, sebaliknya menegaskan kemenangan atau kekalahan harus dipikul secara berpasukan tanpa menuding jari kepada sesiapa.

"Menang atau kalah, kami harus memikulnya bersama. Memang bagus kalau kami berjaya memenangi perlawanan ini, namun kekalahan juga telah diduga kerana kami berdepan lawan yang sangat kuat.

"Saya tidak terlalu kecewa, sebaliknya hanya mahu memandang ke depan dan harap rakan-rakan saya juga berfikiran seperti itu. Kami ada satu lagi perlawanan untuk diharungi dan saya akan cuba menamatkannya dengan sebaik mungkin," kata Jing Yi.

Menurut Jing Yi, sebaik kembali ke tanah air fokusnya akan beralih kepada persiapan menghadapi Siri Super Terbuka Indonesia, bulan depan sebelum memasang misi memburu pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai nanti.

Semalam, Jing Yi, yang turun sebagai pemain No. 50 dunia mempamer keyakinan tinggi ketika menundukkan Takahashi, biarpun sedar dia tidak pernah menewaskan pemain Jepun itu dalam dua pertemuan mereka sebelum ini.

Mata sulung yang diraih Jing Yi bagaimanapun gagal meniupkan semangat Amelia-Fie Cho apabila mereka kalah tanpa melawan 13-21, 10-21 kepada pasangan No. 4 dunia, Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi untuk kedudukan 1-1.

Pemain remaja berusia 19 tahun, Yin Fun cuba memberi tentangan kepada jaguh senior Jepun, Eriko Hirose, namun jurang pengalaman menyaksikan dia tumpas 21-23, 12-21.

No comments:

Post a Comment