Wednesday, May 21, 2014

Piala Uber: Malaysia Gagal Mara Ke Suku Akhir


NEW DELHI, 20 Mei (Bernama) -- Pasukan wanita Malaysia gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Uber Li Ning BWF 2014 selepas kalah dalam perlawanan kedua menentang Jepun dalam Kumpulan Z di Stadium Siri Fort di sini hari ini.

"Dari segi prestasi saya agak puas hati, kerana lawan kita memang kuat. Mereka memang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan setiap mata. Mereka tidak patah semangat. Saya puji usaha mereka," kata jurulatih Perseorangan Wanita Wong Tat Meng.

Katanya malangnya pasukan negara tidak mampu memenangi perlawanan dan mencapai sasaran untuk layak ke suku akhir.

"Saya mohon maaf kerana pasukan gagal mara ke suku akhir, yang merupakan sasaran kami," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Tee Jing Yi, merupakan penyumbang mata tunggal untuk negara dalam perlawanan hari ini dengan menumpaskan Sayaka Takahashi 22-20, 21-19.

"Saya puas hati dengan persembahan saya dan sasaran peribadi saya adalah pada Sukan Komanwel," katanya dan menurutnya boleh menyasarkan pingat gangsa.

Pemain lain kalah kepada lawan masing-masing.

Beregu Anscelly Amelia Alicia/Soong Fie Cho kalah kepada Misaki Matsutomo 13-21, 10-21, manakala gandingan Lee Meng Yean/Vivian Hoo Kah Mun kalah kepada Mami Naito/Shizuka Matsuo 17-21, 8-21.

Perseorangan kedua Lim Yin Fun tewas kepada Eriko Hirose 21-23, 10-21 manakala perseorangan ketiga Lim Chiew Sien ditumpaskan Akane Yamaguchi 19-21, 14-21.

Esok, Jepun akan bertemu Denmark dalam perlawanan bagi penentuan kedudukan teratas Kumpulan Z manakala Malaysia akan menentang Jerman bagi penyudah peringkat kumpulan.

Pasukan lelaki Malaysia yang telah menempah tiket ke suku akhir akan bertemu Korea Selatan esok bagi penentuan tempat teratas Kumpulan C.

Oleh M. Saraswathi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment