Monday, May 26, 2014

Piala Thomas: Malaysia Hadapi Detik Penentuan Dengan Penuh Bersemangat


NEW DELHI, 24 Mei (Bernama) -- Kejayaan Malaysia untuk sekali lagi beraksi dalam perlawanan akhir Piala Thomas, membawa keceriaan kepada 30 juta penduduknya tentang kemungkinan pasukan negara membawa pulang piala itu ke tanah air.

"Ini adalah peluang terbaik kami apabila China tersungkur (di peringkat separuh akhir)," kata jurulatih kebangsaan Rashid Sidek.

"Jepun mencipta euforia apabila membelasah China 3-0 dalam di peringkat separuh akhir pada Jumaat. Ini merupakan kali pertama Jepun beraksi dalam perlawanan akhir Piala Thomas.

"Secara perbandingan, kekuatan kami hampir sama dengan Jepun, tapi mereka berjaya mengecewakan China. Saya rasa kami akan berdepan dengan tentangan sengit. Harap-harap, kami akan berjaya mencapainya (menang)," katanya kepada pemberita di sini hari Sabtu.

Kali terakhir Malaysia memasuki perlawanan akhir Piala Thomas ialah pada 2002 di Guangzhou, China, tetapi kalah 2-3 kepada Indonesia.

Setakat ini, hanya tiga pasukan pernah menjulang Piala Thomas - Malaysia, Indonesia dan China. Malaysia menjulangnya lima kali, termasuk tiga kali dari 1949 hingga 1955.

Malaysia menjadi naib johan sebanyak lapan kali, tetapi tidak pernah memenangi piala itu sejak 1992 apabila ia menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.

"Perkara paling penting sekarang ialah para pemain perlu tenang dan fokus," kata Rashid, yang pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel dan Piala Thomas.

Pasukan Malaysia yang beraksi di New Delhi kali ini mempamerkan prestasi yang amat cemerlang.

Tidak dapat dinafikan, pemain utama Malaysia Datuk Lee Chong Wei menjadi tonggak pasukan itu apabila beliau tidak pernah gagal mendapatkan mata pertama dan semangat yang amat diperlukan oleh pasukannya.

"Chong Wei memainkan peranan yang sangat penting. Momentum beliau menjadi azimat kepada pemain lain," kata Rashid.

Mengenai Chong Wei Feng, yang mendapatkan mata kemenangan bagi Malaysia dalam kemenangan 3-0 terhadap Indonesia semalam yang menjamin tiket untuk ke perlawanan akhir, Rashid berkata: "Permainannya sungguh mengagumkan."

"Saya tak pernah menyangka dia mampu bermain sehebat itu."

Wei Feng, yang pertama kali menyertai skuad Piala Thomas, menang semua perlawanannya dalam perjalanan ke perlawanan akhir ini.

"Ya, skuad ini dianggap yang paling lemah. Tapi kami tak fikirkan semua itu, apa yang menjadi fokus kami sekarang ialah persiapan untuk esok," kata Rashid.

Ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir semalam, Wei Feng berkata: "Tiada siapa yang percaya kami mampu sampai sejauh ini. Tapi kami sudah sampai di sini dan akan melakukan yang terbaik untuk negara."

Rashid berkata keputusan yang dicapai setakat ini menunjukkan dengan jelas persiapan rapi yang dibuat pasukan itu, hingga berjaya melepasi sasaran Persatuan Badminton Malaysia iaitu layak ke separuh akhir.

"Para pemain amat teruja, kami ada satu lagi misi iaitu membawa pulang Piala Thomas ke tanah air," demikian kata-kata penutup Rashid dalam temu bual ini.

Oleh M. Saraswathi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment