Tuesday, May 06, 2014

Perlis jamin siap awal

MENTERI Besar Perlis, Azlan Man (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja pembinaan Kompleks Renang Perlis di Kangar baru-baru ini.


HANYA berbaki kurang 20 hari sebelum obor Sukan Malaysia (Sukma) Perlis dinyalakan, jaminan yang diberikan oleh Menteri Besar Perlis, Azlan Man bahawa semua vanue termasuk Kompleks Renang akan disiapkan mengikut jadual nampaknya perlu dinilai semula.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong, beliau mengakui agak bimbang sekiranya kerja-kerja pembinaan kompleks renang tersebut dilakukan secara tergesa-gesa.

Lebih membimbangkan, kompleks tersebut tidak boleh digunakan gara-gara gagal melepasi piawaian yang ditetapkan oleh pihak ASUM dalam mendapatkan sijil kelulusan penggunaan.

“Kita faham yang Perlis sedang bertungkus lumus menyiapkan kompleks renang tersebut sebelum Sukma bermula.

“Namun kita bimbang kerja-kerja pembinaan yang dilakukan dalam masa yang singkat itu akan mengundang banyak masalah termasuk mendapatkan sijil kelulusan daripada ASUM yang mengikut standard Persekutuan Renang Dunia (FINA),” jelas Edwin.

Tambah Edwin, pihak ASUM tidak mahu insiden yang sama berlaku ke atas kompleks renang di Kuantan ketika Sukma Pahang yang tidak menepati piawaian berlaku pada Sukma Perlis yang akan berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun depan.

“Sudah tentu kita mengharap kompleks tersebut dapat siap pada masa yang ditetapkan. Malah kita mahu acara akuatik dijalankan di Perlis sendiri, bukan di vanue lain.

“Justeru, kami berharap ia tidak berdepan dengan masalah kelulusan. Malah, semua sijil kelayakan akan diberikan ASUM sekiranya kerja-kerja pembinaan kompleks renang menepati piawaian yang ditetapkan.

“Ini termasuklah tahap keselamatan, infrastruktur serta reka bentuk dan saiz bagi peralatan untuk acara terjun seperti papan anjal serta platform.

“Sekiranya semua menepati standard yang telah diberikan, sudah tentu tiada masalah malah sijil kelulusan tersebut boleh diberi dalam tempoh 24 jam selepas pemeriksaan dilakukan,” kata Edwin mengenai kompleks renang yang mencecah nilai RM300,000 itu.

Terdahulu, Azlan melahirkan keyakinan bahawa kesemua acara sukan yang dipertandingkan pada Sukma kali ini tidak akan dilangsungkan di luar Perlis.

Kenyataan tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan setengah pihak sehingga ada dakwaan acara akuatik akan diadakan di Pusat Akuatik Gunung Keriang di Alor Setar, Kedah yang bakal menjadi alternatif jika kolam renang di Kangar tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment