Wednesday, May 07, 2014

‘Pergi jumpa Rashid dulu’


Kuala Lumpur: Selepas menetapkan pihak media hanya boleh membuat liputan sesi latihan skuad negara pada hari tertentu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) umpama terus bersikap dingin apabila mengenakan peraturan lebih ketat sepanjang kem latihan pusat skuad negara menjelang saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Kali ini, pihak media diminta menyatakan kepada pegawai bertugas di kaunter depan stadium pemain yang ingin ditemuramah sebelum nama pemain itu diserahkan kepada ketua projek bagi saingan Piala Thomas, Rashid Sidek.

Rashid satu-satunya jurulatih yang mempunyai kuasa untuk memanggil pemain yang dimaksudkan dan ia bermakna, tanpa kebenaran beliau, pemain tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.
Peraturan itu pastinya diarahkan pengurusan BAM dan perlu dituruti jurulatih serta pemain.
Bagaimanapun Pengurus Besar BAM Kenny Goh menafikan tindakan badan induk itu mahu menghalang media daripada membuat liputan.

“Kami bukan mahu memberhentikan pihak media daripada membuat liputan, tapi kami cuma nak buat caranya supaya lebih teratur.

“Kalau ada permintaan untuk membuat temuramah individu tertentu, anda boleh maklumkan kepada ketua projek Rashid Sidek.

Saya percaya Rashid akan melayani permintaan anda,” katanya.
Sebelum ini, BAM hanya memberikan ruang pada Isnin, Rabu dan Jumaat kepada pihak media untuk membuat wawancara atau liputan sesi latihan skuad negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Liew Daren dan Amelia Alicia Anscelly selaku ketua pasukan bagi skuad Piala Thomas dan Uber negara, Kenny berkata, pemilihan kedua-dua pemain itu atas pilihan barisan pemain lain.

“Pemain sendiri yang memilih mereka dan saya percaya pemain seperti (Datuk) Lee Chong Wei atau pemain senior lain akan mengikuti arahan diberikan.

“Setakat ini saya lihat tiada masalah dan mereka semua dapat mengikut segala program yang dijalankan,” katanya.

FotoCHONG Wei (kanan) bersama pemain selepas sesi latihan skuad Piala Thomas di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.



Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment