Tuesday, May 27, 2014

Pemilihan perlu lebih terbuka

SKUAD negara menamatkan kempen Piala Thomas 2014 di tempat kedua selepas tewas 2-3 kepada Jepun pada perlawanan akhir di Stadium Siri Fort New Delhi, India kelmarin.


MUNGKIN sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meniru sistem latihan skuad Jepun yang memberi tumpuan untuk menjalin kerjasama dengan kelab-kelab tempatan mereka dalam melahirkan pemain bertaraf dunia.

Bekas pemain beregu negara dan Penasihat Kelab Badminton Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, sistem yang digunakan Jepun itu terbukti berjaya selepas mereka muncul sebagai kuasa baharu badminton dunia.

Kelmarin, Jepun mencatat sejarah baharu apabila muncul juara Kejohanan Badminton Piala Thomas selepas menundukkan Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Siri Fort New Delhi, India.

“Sistem di Jepun tidak sama dengan BAM, Di Jepun, mereka tidak menggunakan sistem pemain sepenuh masa dalam skuad kebangsaan seperti kita. Selepas habis sahaja kejohanan mereka akan terus pulang menyertai kelab masing-masing.

“Sebab itu mereka boleh menghantar pemain yang terbaik ke sesuatu kejohanan kerana mereka ada sistem pemilihan yang adil dan terbuka.

“Semua pemain daripada beberapa kelab di Jepun akan berlawan sesama sendiri untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan mereka, dan hanya yang terbaik akan dipilih.
“Cara pemilihan kita berbeza. Kita sudah ada pemain sepenuh masa di bawah naungan BAM. Jadi, konsep pemilihan itu tidak terbuka.

“Kelab-kelab di Jepun pula besar dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk melahirkan pemain yang hebat selain memberi pendedahan sejak pemain mereka masih di usia remaja lagi,” ujar Jalani kepada Kosmo! semalam.

Jalani yang turut memberi penekanan agar BAM melihat kepada aspek pembangunan di peringkat akar umbi menjelaskan, sistem yang digunakan di China juga sama namun pemain mereka dikendalikan oleh persatuan-persatuan di wilayah masing-masing.

“China ada persatuan di wilayah masing-masing yang peranan mereka sama seperti Majlis Sukan Negeri tetapi mereka bergerak aktif dengan melahirkan pemain-pemain remaja untuk skuad negara.
“Jadi apa yang mereka perlu lakukan di sini ialah kembali kepada asas dengan melihat kepada akar umbi, saya menjadi juara ketika berusia 19 tahun kerana ketika saya usia 15 dan 16 tahun saya sudah beraksi di pentas antarabangsa.

“Jadi semakin lama bermain pemain juga akan meningkat, semakin berpengalaman dan tahu senario di luar sana. Kalah tidak apa tetapi ia tidak bermakna kalah selama-lamanya kerana pengalaman yang penting terutama untuk mengawal tekanan ketika menghadapi kejohanan,” jelas Jalani.

Dalam pada itu, Jalani yang turut mengulas mengenai Izuan Ibrahim iaitu jurulatih remaja Kelab Badminton Nihong di Jepun yang bertanggungjawab membentuk pemain perseorangan kedua Jepun, Kento Momota mengakui bahawa dia (Izuan) telah menjalankan tugas dengan baik.

“Memang benar Izuan telah melatih Momota ketika di peringkat kelab, tetapi dengan kerjasama Persatuan Badminton Jepun yang menggunakan pengalaman Park Joo Bong, bakat pemain muda Jepun itu terus menunjukkan peningkatan,” kata Jalani.

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment