Friday, May 30, 2014

Pelantikan jurulatih Harimau Malaya ditangguh

PETALING JAYA - Pelantikan jurulatih baharu Harimau Malaya yang pada mulanya dijangka diumumkan pada minggu depan telah ditangguhkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada penghujung Jun atau awal Julai.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, berdasarkan kekangan-kekangan tertentu, FAM tiada pilihan lain selain menangguhkan pelantikan itu.

Selain itu, katanya, FAM tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan selain mahu menumpukan perhatian kepada pemilihan anggota jawatankuasa FAM bagi penggal 2014-2018.
"Tidak, tidak sama sekali (umumkan pada minggu pertama Jun), Presiden FAM, (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) hanya akan mengumumkan nama jurulatih selepas selesai melantik semua pengerusi jawatankuasa yang baharu. Selain itu baginda mempunyai beberapa tugasan penting yang lain" katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Bengkel Pelesenan AFC-FAM di Wisma FAM semalam.

Mengenai calon-calon jurulatih Harimau Malaya, Hamidin mengakui akan ada muka baharu selain daripada tiga nama yang telah disenarai pendek sebelum ini.

"Akan ada lagi nama baharu sebenarnya, saya tidak boleh beritahu di sini...saya harap pihak media boleh bersabar dalam hal ini, kita tidak boleh tergesa-gesa memilih," katanya.

Dalam masa sama, Hamidin memaklumkan bahawa Datuk Seri Subahan Kamal yang tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden kini secara automatik bukan lagi pengurus pasukan Harimau Malaya.

No comments:

Post a Comment