Tuesday, May 27, 2014

‘Padam’ janji Tunku Ismail



Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) harus mencari pendekatan terbaik untuk ‘memadam janji’ disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Pemerhati sukan negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad berkata, beliau melihat janji disuarakan Tunku Ismail sebelum pemilihan pucuk pimpinan FAM kelmarin sebagai tekanan kepada barisan kepimpinan baru badan induk itu yang mendapat mandat menerusi Kongres FAM Ke-50 kelmarin.

“Ada dua atau tiga cadangan dilontarkan seperti ahli gabungan mendapat peruntukan RM2 hingga RM3 juta. Itu tekanan kepada Tengku Abdullah kerana beliau perlu memberi reaksi terhadap cadangan Tunku Ismail itu.

“Usul itu menarik kerana kebanyakan ahli gabungan kini mengeluh dengan kedudukan kewangan masing-masing berdasarkan bantuan semasa diberikan FAM.

Foto

“Apa akan dilakukan Tengku Abdullah untuk menangani masalah itu serta perkara baru yang ingin dilaksanakannya? Tengku Abdullah perlu melakukan perubahan kerana Tunku Ismail menjanjikan perubahan sekiranya terpilih.

“Jika Tengku Abdullah tidak melakukan perubahan, besar kemungkinan pucuk pimpinan akan berubah sekali lagi (pada 2018),” kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu yang pernah menganggotai beberapa jawatankuasa dalam FAM.

Tengku Abdullah terpilih menerajui kepimpinan FAM bagi penggal 2014-2018 apabila menewaskan Tunku Ismail dalam persaingan satu lawan satu dengan pengundian terpaksa dijalankan dua pusingan selepas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia itu gagal mendapat majoriti 2/3 daripada 39 perwakilan yang mewakili 20 ahli gabungan pada pusingan pertama.

Ditanya mengenai prospek untuk kepimpinan diterajui Tengku Abdullah bekerjasama dengan Tunku Ismail, Mazlan tidak menolaknya dengan melihat peranan penting perlu diberikan kepada calon presiden yang tewas itu.

“Untuk seseorang bertanding bagi jawatan presiden, kerjasama yang mahu dijalankan perlu cukup bermakna. Beliau akan memberi sokongan namun bagaimana caranya untuk meminta beliau memainkan peranan.

“Pada saya peranan penting yang perlu diberikan kepadanya harus lebih daripada sekadar menjadi pengurus skuad negara,” katanya.

Barisan kepimpinan baru FAM berdepan cabaran besar untuk memenuhi tuntutan peminat yang mahukan perubahan apabila Tengku Abdullah mengambil alih pucuk pimpinan FAM menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah selepas 30 tahun menjadi Presiden.

“Bagi saya cabaran paling besar adalah menstabilkan ahli gabungan di peringkat negara dalam pelbagai aspek termasuk kewangan.

“FAM tidak perlu bersusah payah dan menanggung beban sekiranya mempunyai ahli gabungan yang kuat.

“Bagi peminat pula, mereka merungut mengenai skuad kebangsaan yang tidak cemerlang seperti diharapkan. Orang akan gembira jika sebaliknya berlaku,” katanya.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment