Monday, May 19, 2014

Nicol lunas dendam


Kuala Lumpur: Dendam Datuk Nicol David terhadap Laura Massaro dibalas juga pada final Terbuka British di Hull, malam tadi.

Nicol, pilihan utama kejohanan, bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan pilihan kedua dari England itu yang juga juara bertahan 8-11, 11-5, 11-7, 11-8 dalam masa 64 minit.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Nicol menjuarai Terbuka British, kejohanan yang dianggap berprestij dalam sukan skuasy, buat kali kelima selepas kejayaan pada 2005, 2006, 2008 dan 2012.
Tahun lalu Nicol kecundang di tangan Laura pada pertembungan final empat set. Dia turut muncul naib juara pada 2007 apabila tumpas kepada Rachael Grinham dari Australia.

Awal minggu ini, Nicol mengkritik penganjur Terbuka British kerana diskriminasi apabila perlawanan membabitkan pemain wanita diadakan di gelanggang konvensional lebih satu kilometer dari gelanggang kaca yang pada awalnya menyaksikan perlawanan pemain lelaki.

Ia juga kejuaraan ke-74 Nicol dalam siri jelajah Persatuan Pemain Skuasy Wanita Dunia (Wispa) sejak kali pertama menang pada Terbuka Finland 14 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment