Thursday, May 15, 2014

Nicol kritik diskriminasi penganjur


London: Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David mengkritik diskriminasi diamal penganjur Terbuka British terhadap pemain wanita selepas terpaksa beraksi di gelanggang konvensional lebih satu kilometer dari gelanggang utama.

Nicol beraksi mantap mengatasi pemain berbakat Heba El Torky dari Mesir 11-8, 12-10, 11-8 dalam masa 36 minit, awal pagi semalam namun kini terpaksa beralih ke gelanggang kaca bagi pusingan kedua, gelanggang digunakan pemain lelaki sejak awal pertandingan.

Bintang negara yang mengungguli ranking nombor satu dunia hampir lapan tahun, Nicol mempunyai alasan tersendiri menentang diskriminasi terhadap pemain wanita.

“Kini anda mempunyai juara wanita dunia,” katanya merujuk kepada musuhnya, Laura Massaro, pemain Inggeris pertama merangkul kedua-dua kejuaraan dunia dan Terbuka British selepas menggantikan pemain Malaysia itu sebagai juara dunia bulan lalu.

FotoNICOL (depan) kecewa sikap penganjur.

“Ia pastinya istimewa. Ada ramai lagi pemain Inggeris dalam kelompok 10 atau 12 terbaik dan semuanya ada di sini, pastinya anda mahu mempamerkan aksi mereka?” tanya Nicol.

“Kenapa tidak berikan mereka gelanggang kaca? Ia perlawanan utama dan itulah yang sepatutnya.”

Nicol berasa selain kesamaan jantina sebagai prinsip, alasan komersial juga perlu diambil kira dengan menganjurkan perlawanan wanita di gelanggang utama di samping lelaki sejak mula.

Promoter Terbuka British sebelum ini bimbang mengenai kekurangan penjualan tiket menerusi perlawanan wanita dan penganjur England Squash and Racketball jelas bimbang mengenai perkara itu ketika kejohanan itu gagal mengaut keuntungan.

Nicol akan menentang pilihan ke-16 dari England, Sarah-Jane Perry pada pusingan kedua awal pagi esok.

Sementara itu, pilihan ketujuh Low Wee Wern turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara Delia Arnold 11-6, 7-11 , 11-1, 11-13, 11-7 dalam masa 64 minit.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment