Friday, May 16, 2014

Muhamad Edros Ungguli Acara Pecut Di Grand Prix Asia Tenggara 2014

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pelumba trek kebangsaan Muhamad Edros Md Yunus hari ini mencatat kemenangan hatrik apabila sekali lagi mengungguli acara pecut pada peringkat ketiga Kejohanan Lumba Basikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2014 di Velodrom Cheras di sini.

Muhamad Edros menewaskan rakan senegara yang juga pelumba senior Josiah Ng dengan skor 2-0 dalam perlumbaan akhir acara pecut individu lelaki.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Perancis Charlie Conord yang menewaskan pesaingnya juga rakan senegara, Quentin Lafargue.

"Setiap perlumbaan saya bersaing dengan lawan yang berbeza-beza dan saya berpuas hati dengan prestasi saya sehingga tahap ini sebelum menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia 2014 (ACC 2014) nanti.

"Pada perlumbaan hari ini, saya dapat sedikit kelebihan disebabkan Josiah mungkin agak letih sebab dia terpaksa bersaing tiga pusingan pada separuh akhir tadi," katanya kepada pemberita.

Ditanya mengenai sasaran di ACC 2014 yang akan berlangsung di Astana, Kazakhstan hujung bulan ini, Muhamad Edros berkata peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih John Beasley tidak akan dipersiakan.

"Susah juga untuk kita ramalkan tapi dengan prestasi sekarang, saya yakin mampu melakukan yang terbaik.

"Kita hanya perlu berwaspada dengan pelumba China, Jepun, Korea dan Iran kerana sudah agak jarang kita bersaing dalam perlumbaan dengan mereka tahun ini," kata pelumba berusia 27 tahun ini.

Selain saingan di ACC 2014, Muhamad Edros juga bakal memikul cabaran di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea.

Dalam pada itu, nasib pelumba trek wanita kebangsaan Fatehah Mustapa agak berbeza apabila beliau hanya mampu berpuas hati di tempat kedua selepas tewas kepada pelumba Perancis, Virginie Cueff pada perlumbaan penentuan acara pecut wanita.

Tempat ketiga pula dimenangi Sandie Clair juga dari Perancis yang menewaskan rakan sepasukan Melissandre Pain pada perlumbaan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Beasley berkata beliau berpuas hati dengan prestasi semua pelumba dengan memberi gambaran persediaan menghadapi ACC 2014, Sukan Komanwel serta Sukan Asia.

"Saya gembira dengan semangat juang kesemua pelumba skuad negara. Kami berada di landasan betul bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya sukar untuk meletakkan sasaran pada ACC 2014 kerana ini adalah sebahagian daripada persediaan. Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk tidak menang," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment