Wednesday, May 07, 2014

Mohd Assri Jadi Sandaran Utama Raih Gangsa Acara Tenis Pada Sukan Asia 2014

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) menyandarkan harapan kepada pemain profesional lelaki negara, Mohd Assri Merzuki untuk membawa pulang satu pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Setiausaha Eksekutif LTAM, Ibrahim Abu Bakar berkata badan induk tenis negara itu menyandarkan harapan kepada pemain berusia 19 tahun itu berdasarkan pengalaman luas beraksi di kejohanan tenis antarabangsa selain pernah memenangi beberapa kejuaraan dalam beberapa pertandingan tempatan dan antarabangsa.

"Kita berharap Mohd Assri dapat menggunakan pengalaman bersaing di sirkit antarabangsa seperti Jelajah Dunia ATP untuk sekurang-kurangnya meraih satu pingat gangsa pada penampilan sulung di Sukan Asia nanti," katanya kepada Bernama, hari ini.

Ibrahim berkata, Mohd Assri juga akan bergandingan bersama Syed Agil Syed Naguib dalam acara beregu lelaki namun tiada sasaran diletakkan dalam acara itu.

Katanya, slot ketiga ke temasya berkenaan akan diisi oleh pemenang perlawanan penentuan antara Ahmad Deedat Abd Razak dan Ariez Elyaas yang akan diadakan selepas berakhirnya temasya Sukan Malaysia (Sukma), Jun nanti.

"Jawatankuasa Pemilihan LTAM akan memutuskan pemain keempat ke Sukan Asia selepas Sukma di Perlis, kerana penganjur temasya berkenaan membenarkan setiap negara bertanding menghantar maksimum empat pemain," katanya.

Ibrahim berkata skuad kebangsaan akan meneruskan latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Deen Heshaam Abdullah Tan, selepas membantu negeri masing-masing pada Sukma nanti.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi dua pingat gangsa menerusi gandingan Gladys Loke Chua dan Katherine Leong dalam acara beregu wanita pada 1958 di Tokyo, Jepun selain berpasukan lelaki pada 1994 di Hiroshima, Jepun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment